Tiada kilang beroperasi tanpa kebenaran di Seberang Perai – MBSP

Admin

PERAI – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan sentiasa menjalankan pemantauan ke atas kilang-kilang bagi memastikan hanya kilang yang dibenarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) sahaja beroperasi bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Penolong Pengarah Kanan Direktorat Penguatkuasaan MBSP, Saiful Azri Saleh, berdasarkan operasi yang dijalankan sejak 18 Mac lalu mendapati tidak ada kilang yang beroperasi tanpa kebenaran sehingga kini.

Langkah jarak sosial selamat turut dipraktikkan di kawasan kantin kilang.

“Ini menunjukkan bahawa kilang-kilang di Seberang Perai menunjukkan kepatuhan terhadap arahan PKP.

“Bagi kilang-kilang yang dibenarkan peroperasi, kita dapati mereka telah mengikut syarat yang ditetapkan seperti ketetapan di bawah peraturan PKP,” katanya ketika ditemui semasa menjalankan pemantauan di kilang Flex Ltd. dekat kawasan perindustrian Perai, hari ini.

Dalam pada itu, berdasarkan pemerhatian Buletin Mutiara, kilang-kilang yang dilawati kebanyakannya telah mengambil langkah sewajarnya bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Setiap individu yang memasuki kawasan kilang diwajibkan menjalani saringan suhu badan selain perlu memakai pelitup muka dan mencuci tangan.

Jarak sosial selamat juga turut dipraktikkan oleh pihak kilang terbabit melalui penyediaan carta pergerakan.

Jumlah kakitangan yang bekerja juga dihadkan hanya kepada 15 hingga 20 peratus pada satu masa.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS