BUKIT MERTAJAM – Tiada lagi kompromi mahupun amaran terhadap mana-mana individu yang didapati membuang sampah kecil di tempat awam apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Pulau Pinang mula mengambil tindakan tegas bagi mengekang perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
Berkuat kuasa hari ini, pesalah yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selama tempoh tidak melebihi 12 jam di lokasi yang ditetapkan, atau kedua-dua hukuman sekali.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye berkata, pelaksanaan PKM diperkukuh menerusi pewartaan Akta Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025 (Akta A1772) dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025 (Akta A1773) pada November tahun lalu.
“Ini memberi kuasa kepada PBT untuk melaksanakan pendekatan hukuman berbentuk khidmat masyarakat bagi kesalahan kebersihan awam.
“Tindakan penguatkuasaan ini terpakai kepada semua individu tanpa mengira sama ada warga tempatan, pelancong mahupun warga asing yang didapati melakukan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam.
“Kita tidak akan mengeluarkan amaran kepada pesalah. Sebaliknya, kes akan terus dibawa ke mahkamah bermula hari ini dan semua kesalahan akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Malah, pesalah yang gagal mematuhi arahan mahkamah, khususnya berkaitan pelaksanaan PKM, boleh dikenakan hukuman lebih berat iaitu denda antara RM2,000 hingga RM10,000,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengedarkan risalah berhubung Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bagi Kesalahan Pembuangan Sampah Kecil di Bandar Perda, di sini hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid.
Dalam pada itu, Mooi Lye berkata, anggota penguat kuasa PBT di MBSP dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah bersiap siaga bagi melaksanakan penguatkuasaan tersebut tanpa melibatkan pertambahan anggota.
“Ramai yang bertanya apakah kesalahan yang boleh dihukum mengikut PKM ini.
“Kesalahan membuang sampah kecil merangkumi pembuangan puntung rokok, tisu, plastik, botol, pembungkus makanan, sampah ke dalam longkang atau parit, meninggalkan sampah di tempat awam, pantai dan kawasan rekreasi, membuang sampah dari dalam kenderaan serta meninggalkan sisa makanan atau sampah selepas berniaga di pasar malam, medan selera dan pusat penjaja.
“Bagi melancarkan operasi, anggota penguat kuasa akan dilengkapi dengan kamera badan (bodycam) bagi memperkukuh proses dokumentasi serta dijadikan bahan bukti semasa tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.
“Tiada sebarang kos tambahan dalam pelaksanaan tindakan ini kerana apa yang lebih penting adalah meningkatkan kesedaran masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, penguatkuasaan PKM khususnya di MBSP berjalan lancar, termasuk melalui penyediaan kamera badan kepada pegawai yang bertugas.
“MBSP menyediakan 26 unit kamera badan kepada pegawai penyiasat sebagai sebahagian daripada keperluan operasi bagi menghadapi pelaksanaan penguatkuasaan ini.
“Selain itu, MBSP turut menganjurkan Kursus Tatacara Pengemukaan Dokumen Pendakwaan dan Pelaksanaan Pemantauan serta Operasi Penguatkuasaan PKM yang melibatkan seramai 100 pegawai penguat kuasa bagi memastikan mereka menjalankan tugas mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Malah, sebanyak 119 lokasi bagi pelaksanaan PKM telah diluluskan menerusi Mesyuarat Pentadbiran dan Kewangan Bil. 6/2026 bertarikh 12 Jun 2026 serta Mesyuarat Majlis Penuh MBSP,” jelasnya.
Terdahulu, Mooi Lye bersama Baderul Amin serta barisan Ahli Majlis dan anggota penguat kuasa MBSP menyantuni orang ramai di kawasan Lembah Makanan Viral, Bandar Perda dengan mengedarkan risalah serta memberi penerangan mengenai pelaksanaan PKM yang mula berkuat kuasa hari ini.
Antara bentuk Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) yang boleh dikenakan adalah kerja-kerja pembersihan awam seperti mengutip sampah, menyapu dan mencuci kawasan awam.
Oleh: MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN