GEORGE TOWN — Kerajaan Negeri Pulau Pinang menegaskan tiada keperluan untuk mengadakan lelongan semula tanah bernilai RM313.63 juta di Bandar Tanjung Pinang buat masa ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, langkah itu tidak diteruskan memandangkan kontraktor Projek Lebuhraya Pakej 2 (jalan pintasan dari Bandar Baru Ayer Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu), iaitu Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZC), tidak lagi berdepan masalah aliran tunai.
Menurut beliau, kegagalan lelongan kali pertama bagi tanah PT 858 (Plot 7A) Seksyen 2 seluas kira-kira enam ekar itu langsung tidak menjejaskan pelaksanaan dan kemajuan pembinaan jalan pintasan berkenaan.
Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa lelongan awam dengan harga rizab RM1,200 sekaki persegi tersebut pada asalnya diadakan atas permintaan CZC sendiri untuk mendapatkan dana tunai bagi menyiapkan baki projek.
“Di bawah perjanjian, Kerajaan Negeri sedia memindahkan milik tanah terus kepada syarikat atau pihak yang ditetapkan.
“Namun, disebabkan tiada pembeli secara terus ketika itu, syarikat memohon bantuan negeri mengadakan lelongan bagi mendapatkan tunai berdasarkan kerja yang telah disiapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab Soalan Lisan dan soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini hari ini.
Mengulas status projek, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap ADUN Padang Kota memaklumkan kemajuan fizikal lebuh raya itu kini telah melebihi 95 peratus dan disokong oleh sumber pendanaan dalaman syarikat itu sendiri.
“Kerajaan Negeri tidak menerima sebarang permintaan daripada syarikat untuk mengadakan lelongan semula kerana mereka tidak lagi menghadapi kekangan aliran tunai dan mampu menyiapkan baki kerja.
“Kerja-kerja utama telah selesai dan kini hanya melibatkan pemasangan perabot jalan (street furniture) serta penurapan semata-mata.
“Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada April 2027 sebelum Audit Keselamatan Jalan Raya (Road Safety Audit) dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi kelulusan pembukaan laluan kepada awam,” tambahnya.
Terdahulu, Guan Eng membangkitkan soalan tambahan sama ada kegagalan bidaan pertama akan menyerap penurunan harga rizab atau menjejaskan pembayaran projek, selain meminta pandangan mengenai impak kegagalan lelongan tersebut terhadap penilaian hartanah di kawasan sekitar.
Menjawab perkara berkenaan, Kon Yeow menegaskan bahawa beliau enggan membuat spekulasi pasaran dan menjelaskan penetapan harga rizab RM1,200 sekaki persegi diasaskan kepada penanda aras transaksi semasa serta syarat perjanjian asal.
“Penetapan harga rizab RM1,200 sekaki persegi mengambil kira perjanjian asal serta transaksi hartanah berdekatan yang berlaku serentak, seperti pembelian tanah oleh kumpulan Sunway di Jalan Pangkor berhampiran Hospital Gleneagles pada kadar sekitar RM1,200 sekaki persegi.
“Faktor tiada sambutan mungkin disebabkan persepsi pembida terhadap aspek susun atur lot atau pemandangan bangunan, namun, memandangkan tiada lagi permintaan lelongan buat masa ini, isu tersebut dianggap telah menjadi akademik,” ujarnya.
Mengenai soalan asal berhubung ketelusan sebaran maklumat tender terbuka tanah itu, Kon Yeow menjelaskan Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut (PDTTL) bersama pelelong swasta telah membuat hebahan meluas menerusi akhbar utama seperti The Star, The Edge, dan Sin Chew Daily pada 7 September 2026, iaitu 30 hari sebelum tarikh lelongan.
“Selain itu, maklumat turut disebarkan melalui portal rasmi Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta makluman khusus kepada Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).
“Penyertaan pembida tertakluk kepada minat serta kesediaan pihak yang memenuhi syarat lelongan dan tidak dapat dijamin terlebih dahulu oleh pentadbir tanah.
“Hala tuju serta penyesuaian tindakan susulan akan ditentukan mengikut arahan Pihak Berkuasa Negeri kelak,” ulasnya lanjut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING & SIEW CHIA EN
Video : ALISSALA THIAN