Tiada projek perumahan baharu di Telok Air Tawar, Kerajaan Negeri giat rancang pembangunan perumahan inklusif

Admin
5d433dcc 936b 451e 8257 126e266068d9

GEORGE TOWN – Pada ketika ini, tiada projek baharu melibatkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang kini dikenali sebagai Program Residensi Rakyat (PRR) mahupun Projek Rumah Mampu Milik (RMM) yang kini dikenali sebagai Rumah MutiaraKu (RMKu) Jenis A dan B dalam fasa pembinaan atau perancangan di kawasan Telok Air Tawar.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Air Tawar, Azmi Alang pada persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini, pagi ini.

Menurut beliau, projek perumahan sedia ada seperti Ayana Residence, Marina Residence dan Apartment Freehold merupakan pembangunan di bawah kategori pasaran terbuka yang ditawarkan mengikut spesifikasi harga serta sasaran pembeli yang berbeza.

Walau bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) kekal komited memastikan agihan RMKu dilaksanakan secara seimbang di seluruh negeri.

“Antara langkah strategik yang sedang dilaksanakan termasuk mengenal pasti tanah milik Kerajaan Negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah Seberang Perai Utara, termasuk kawasan berhampiran Telok Air Tawar yang berpotensi untuk pembangunan RMKu pada masa hadapan.

“Di samping itu, pemantauan turut dibuat terhadap pelaksanaan garis panduan sedia ada yang menetapkan pemaju swasta membangunkan projek melebihi 150 unit dalam kawasan pembangunan atau lebih 100 unit di luar kawasan pembangunan supaya menyediakan 30 peratus komponen RMKu A atau B,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sundarajoo berkata, Kerajaan Negeri juga terus mengemukakan permohonan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi pelaksanaan projek PRR di lokasi strategik di seluruh Pulau Pinang, tertakluk kepada kesesuaian tapak serta spesifikasi teknikal kementerian.

“Walaupun tiada projek aktif RMKu A dan B di Telok Air Tawar dalam perancangan semasa, Kerajaan Negeri akan terus memantau keperluan penduduk setempat bagi memastikan pembangunan perumahan pada masa hadapan kekal inklusif dan seimbang.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri komited memastikan setiap perancangan perumahan mampu milik dilaksanakan secara berfasa dan berasaskan keperluan sebenar penduduk agar manfaatnya dapat dinikmati secara lebih menyeluruh di seluruh negeri,” jelasnya.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: LAW SUUN TING & SIEW CHIA EN