Tiang pintar SSP mampu tingkat capaian 4G dan 5G tahun hadapan

GEORGE TOWN – Perkhidmatan telekomunikasi capaian 4G dan 5G di Pulau Pinang dijangka akan bertambah baik dengan pemasangan Smart Street Pole (SSP) mulai suku pertama tahun 2022.

 

 

Menurut Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari, sebagai permulaan sebanyak 50 SSP akan dipasang dalam tempoh berkaitan.

 

 

“Antara kawasan yang akan dipasang SSP adalah George Town, Butterworth, kawasan-kawasan perindustrian, dan kawasan-kawasan difikirkan perlu seperti berkepadatan penduduk yang tinggi.

 

 

“Kita sasarkan 1,500 tiang pintar SSP akan dipasang seluruh negeri Pulau Pinang menjelang tahun 2025.

 

 

“Menerusi projek SSP, Pulau Pinang  akan menjadi negeri peneraju yang mengiktiraf telekomunikasi sebagai salah satu daripada utiliti selain air dan elektrik,” ujar Zairi kepada pemberita dalam sidang media Sesi Libat Urus Bersama Pemegang Taruh Bagi Peaksanaan Projek SSP di Pulau Pinang dekat sebuah hotel di Pusat Bandar semalam.

 

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha bagi Bahagian Kerajaan Tempatan, ‘Aishah Md. Norodin.

 

 

Tambah Zairil, menerusi sesi libat urus itu, Kerajaan Negeri dapat menerima input dan maklum balas berguna untuk dimasukkan dan ditambahbaik di dalam Garis Panduan SSP di Pulau Pinang.

 

 

Antara jabatan dan agensi terlibat adalah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Digital Nasional Berhad (DNB), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Digital Penang, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pejabat-pejabat daerah.

 

 

Penyedia kemudahan dan perkhidmatan rangkaian telekomunikasi dalam pada itu turut serta.

 

 

Mengulas lanjut, Zairil memberitahu setiap syarikat telco akan diberi diskaun sekiranya menyediakan kemudahan tambahan internet untuk segalanya (iOT) seperti kamera litar tertutup (CCTV) pemantaun cuaca, pemeriksaan paras air dan lain-lain.

 

 

“Kadar sewaan adalah RM1,200 namun sekiranya syarikat telco menyediakan kemudahan iOT lain, mereka cuma perlu membayar RM600 sahaja,” jelas Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga.

 

 

Bercakap kepada pemberita selepas itu, ‘Aishah memaklumkan proses pemasangan SSP akan dipermudahkan dengan mengurangkan karenah birokrasi.

 

 

“Kebenaran merancang dan pelan bangunan akan mendapat kelulusan kosong hari… cuma kelulusan kejuruteraan lebih dari itu.

 

 

“Ini bertujuan memudah dan mempercepatkan pemasangan SSP sebagai kemudahan kepada rakyat Pulau Pinang,” katanya.

 

 

Difahamkan satu tiang SSP mampu menyediakan perkhidmatan komunikasi internet pada radius 500 hingga 800 meter.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR