‘First Aider’ PgCare Alliance, bantu urus penjagaan kesihatan mental peringkat KADUN semasa pandemik – Boon Poh

GEORGE TOWN – Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia telah memberi impak yang amat besar terhadap kesihatan mental individu sehingga mengganggu kesejahteraan psikososial dan mental.

 

Apatah lagi apabila kes-kes yang melibatkan tingkah laku ekstrem seperti keinginan mencederakan atau bunuh diri kini menjadi polemik yang semakin membimbangkan.

 

Bertitik-tolak daripada situasi semasa, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil langkah proaktif dengan membentuk PgCare Alliance yang bertujuan memberi sokongan dan bantuan kepada golongan rentan yang terkesan dek pandemik COVID-19.

 

Terkini, melalui kerjasama dengan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), PgCare Alliance menganjurkan kursus pengurusan kesihatan mental secara dalam talian melibatkan wakil dari setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini.

PHEE Boon Poh.

 

Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh berkata, platform yang diwujudkan melalui inisiatif tersebut membolehkan wakil dari setiap KADUN berinteraksi secara terus dengan golongan terkesan dari segi kesihatan mental pada peringkat akar umbi.

 

Wakil dari setiap KADUN yang kita panggil ‘first aider’ ini, akan bertindak seperti anggota barisan hadapan untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan masyarakat.

 

“Mereka ini dilatih secara intensif selama empat hari dan saya yakin mereka kini lebih cakna dalam penjagaan kesihatan mental.

 

“Inisiatif ini juga menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri ambil peduli dan prihatin akan kesejahteraan rakyat di negeri ini,” ujarnya pada Majlis Graduasi Latihan Kesihatan Mental 2021 secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom Meeting pada 27 Oktober 2021.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye dan ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung.

 

Tidak ketinggalan barisan ahli jawatankuasa PgCare Alliance dan penganjur, antaranya Dato’ Seri Leslie Lee Kim Guan; Dr. Ngoo Seong Boon, Cefinny Teh Jin Pei,  Chong Soon Khong dan Keng Soo Peng serta Presiden MMHA, Datuk Dr. Andrew Mohanraj Chandrasekaran.

 

Dalam pada itu, Boon Poh yang juga Pengerusi PgCare Alliance berharap inisiatif ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan wujudnya satu pasukan sukarelawan penjagaan kesihatan mental di peringkat KADUN untuk membantu rakyat.

LESLIE Lee Kim Guan.

 

Terdahulu, Kim Guan ketika menyampaikan ucapan aluan memaklumkan bahawa matlamat utama penganjuran kursus tersebut adalah bagi memberi pendedahan kepada peserta serta meningkatkan pengetahuan dalam penjagaan kesihatan mental.

 

Secara tidak langsung, kursus ini meningkatkan keyakinan peserta bagi menguruskan kes-kes melibatkan kesihatan mental pada peringkat KADUN.

 

“(Dan) pada masa sama menggunakan pengetahuan yang dipelajari untuk membantu menguruskan kes-kes berkaitan di KADUN masing-masing,” jelasnya yang juga merupakan Pengerusi Taskforce Kesihatan Mental PgCare Alliance.

 

Sementara itu, Andrew Mohanraj memberitahu bahawa terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada masalah kesihatan mental.

DR. Andrew Mohanraj. (Photo : https://andrewmohanraj.com/about/)

 

“Kesan daripada pandemik COVID-19 terhadap masyarakat kian meningkat…masyarakat memerlukan bantuan dan sokongan.

 

“Meskipun terdapat ramai ahli psikologi dan kaunselor serta talian untuk dihubungi, namun kes-kes melibatkan tingkah laku seperti mencederakan diri dan bunuh diri terus meningkat.

 

Pendekatan yang diambil kini perlu diubah bagi membolehkan kita mengenal pasti situasi sebenar ketika pandemik ini.

 

“(Dan) untuk itu, saya ingin menzahirkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana menjadi kerajaan negeri yang pertama mengambil peduli isu penjagaan kesihatan mental ketika pandemik COVID-19 dengan mengadakan kursus intensif melalui PgCare Alliance ini.

ANTARA peserta dan tenaga pengajar yang hadir pada majlis berkaitan.

 

“Tahniah kepada peserta, saya yakin anda semua telah mempelajari cara untuk mengadaptasi keadaan semasa dan normal baharu kini terutama dalam berdepan dengan mereka yang memerlukan bantuan serta sokongan dari segi mental,” katanya.

 

Usai majlis, Andrew Mohanraj menyampaikan secara maya senaskah manual berjudul ‘Standard Mental Health First Aid’ kepada Boon Poh  sebagai token penghargaan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD