Tidak hormati hak riparian, Pulau Pinang saran Pusat campur tangan kemelut isu air

PADANG LALANG – Kementerian berkaitan di peringkat Persekutuan disaran untuk campur tangan berhubung kemelut isu air mentah Sungai Muda yang melibatkan tuntutan Kerajaan Negeri Kedah terhadap Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sepatutnya kemelut isu air di kedua-dua negeri itu wajar merujuk kepada hak riparian (riparian water rights) atau hak pemilik tanah di tebing sungai untuk menikmati manfaat sumber semula jadi tersebut, sebagaimana diiktiraf peringkat konvensyen antarabangsa.

“Secara prinsipnya negara atau negeri di hulu boleh menggunakan air (sungai) dengan mengambil kira hak yang sama negara atau negeri-negeri lain di hilir untuk mengambil (air mentah) dari sungai itu.

“Atas prinsip itu, Kedah ada hak dan sudah membina pun beberapa empangan di empat lokasi sepanjang Sungai Muda, juga sudah membina rumah-rumah pam untuk mengambil air (mentah) bagi tujuan rawatan (air bersih).

“Kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) mengambil air (mentah) menerusi Rumah Pam Lahar Tiang iaitu lokasi yang terakhir (di hilir Sungai Muda) untuk mengambil air mentah yang akan pergi ke laut.

“Jadi, kenyataan Menteri Besar Kedah nak lencong sumber air mentah sungai dari masuk ke Pulau Pinang, membina struktur supaya rakyat Malaysia di Pulau Pinang hanya minum air selut, itu adalah tidak menghormati prinsip (hak reparian) ini.

“Justeru, kita (Pulau Pinang) berharap kementerian yang bertanggungjawab dapat memainkan peranannya,” responsnya kepada pemberita selepas berucap pada Majlis Gotong Royong Perdana Sempena Sambutan Hari Air Sedunia 2021 Peringkat Negeri di perkarangan tebing Sungai Rambai dekat sini pada 27 Mac 2021.

 

IR. Jaseni Maidinsa

Bercakap pada sidang media sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa memberitahu bahawa hak riparian berkaitan wujud sejak kewujudan tamadun-tamadun awal dunia yang bermula berhampiran sungai semula jadi.

Mengambil contoh Sungai Danube di Eropah yang melalui 17 negara dari Austria ke Ukrain, tambah beliau, suatu jawatankuasa bersama dibentuk untuk menjaga kepentingan serta jaminan keselamatan bagi menikmati sumber air semula jadi di sungai tersebut.

“Apabila kita bercakap mengenai hak riparian ini, Menteri Besar Kedah kurang faham mengenai hak riparian ini,” ulasnya dalam nada sederhana.

Susulan itu, Jaseni menyatakan bahawa sebarang cadangan Kerajaan Negeri Kedah berhubung sumber air mentah Sungai Muda wajar mendapat pertimbangan lanjut daripada Kerajaan Persekutuan.

“Apa-apa projek yang nak dibuat di Sungai Muda, mesti mengambil kira keseimbangan, kalau tidak Kerajaan Persekutuan tidak akan meluluskan (sebarang cadangan pembangunan industri air negeri).

“Ini kerana, kita tahu bahawa Sungai Muda ini menyokong (pertumbuhan) Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dengan nilai berbilion ringgit serta untuk memenuhi keperluan berjuta-juta rakyat, jadi takkanlah Kerajaan Persekutuan tidak mengambil kira ini semua (termasuk meluluskan projek abstrak air mentah di Lahar Tiang, Pulau Pinang),” jelasnya.

Di samping itu, Jaseni turut menjelaskan bahawa Kerajaan Kedah sebenarnya boleh memohon peruntukan Persekutuan untuk membiayai projek-projek industri air negeri, sebagaimana dimohon oleh Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah 9 Mac lepas dilaporkan berdalih bahawa berdasarkan hak reparian, Pulau Pinang hanya layak menggunakan lima peratus sahaja air daripada sumber dari Sungai Muda.

Menurut beliau lagi, Pulau Pinang ketika ini telah menggunakan 56 peratus sumber air dari sungai berkenaan berbanding negeri Kedah sendiri, iaitu hanya sekitar 44 peratus.

Beliau turut menuntut pampasan RM50 juta daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang konon-konon mengambil air Sungai Muda, sungguhpun proses ekstrak air mentah itu adalah dalam sempadan negeri ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : DARWINA MOHD. DAUD