Tiga buah sekolah terima bantuan pembangunan koperasi SKM

PULAU BETONG – Sebanyak tiga buah sekolah di negeri ini dipilih sebagai penerima bantuan pembangunan koperasi daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Sekolah-sekolah terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Bukit Mertajam yang menerima peruntukan berjumlah RM30,000, SMK Permatang Tok Jaya (RM20,000) dan SMK Seri Balik Pulau (RM20,000).

Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, pemberian bantuan tersebut adalah bertujuan untuk menggalakkan koperasi sekolah melebarkan lagi sayap perniagaan ke arah bidang yang lebih kompetitif.

“Bagi melonjakkan pencapaian perolehan perniagaan koperasi ke arah yang lebih tinggi, koperasi sekolah digalakkan untuk menceburi pelbagai bidang perniagaan yang lebih kompetitif dan tidak hanya tumpu kepada aktiviti sedia ada seperti kedai buku.

“Hal ini kerana tumpuan perniagaan kedai buku lebih bersifat ‘bermusim’ iaitu permintaan amat menggalakkan hanya pada sesi awal persekolahan dan permintaan akan menurun serta mendatar selepas pelajar memasuki suku tahun kedua dan ketiga.

“Justeru, SKM amat menggalakkan koperasi sekolah melebarkan sayap perniagaan dengan menjalankan aktiviti lain seperti kedai dobi, penginapan hotel bajet dan sebagainya dengan menyediakan pelan tindakan dan pelaksanaan aktiviti perniagaan yang baik,” katanya pada Program Taklimat Keusahawanan Koperasi Sekolah dekat Dewan SMK Seri Balik Pulau, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; Pengarah SKM Pulau Pinang, Zakaria Mat Jusoh; Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Suhaimi Saidin serta Pengetua Cemerlang SMK Seri Balik Pulau, Wan Sajiri Wan Hassan.

Mengulas lanjut, Abdul Halim menyatakan bahawa perkhidmatan E-dagang juga perlu ditingkatkan seiring dengan pembangunan ekonomi digital yang lebih berinovasi.

“Oleh itu, platform Konvensyen ‘Young Entrepreneur Strive For Success’ (YESS) dilihat bertepatan untuk dijayakan sebagai suatu usaha berterusan dalam memastikan koperasi sekolah menyemai budaya keusahawanan di samping menjana idea berinovatif terhadap penciptaan produk baharu,” ujarnya yang juga ADUN Batu Maung.

Sementara itu, penerima bantuan berkenaan, Mohd Nazri Bahari ketika ditemui Buletin Mutiara berkata, penerima program tersebut harus dilaksanakan setiap tahun bagi memberi pendedahan kepada pengetua-pengetua sekolah mengenai YESS serta cara memohon gerai jualan.

“Koperasi kita (SMK Tinggi Bukit Mertajam) mempunyai daya beli yang tinggi dalam kalangan pelajar, justeru dengan bantuan diterima, kami bercadang untuk mengubah suai koperasi ala ‘mini market’ untuk keselesaan para pelajar,” jelasnya.

Difahamkan, Koperasi sekolah mula ditubuhkan pada tahun 1968 hasil idea bernas Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) yang pertama iaitu Prof. Diraja Ungku Aziz.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: LAW SUUN TING