MAYC komited anjur aktiviti belia termasuk kelas tuisyen percuma golongan B40

Admin

OGEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebentar tadi menerima kunjungan hormat Kelab Belia Malaysia (MAYC) Pulau Pinang di pejabatnya dekat sini.

Delegasi disertai empat perwakilan berkaitan diketuai Pengerusinya, Saiful Anuar Sazali yang juga merupakan Ketua Penerangan MAYC Kebangsaan.

Selain menzahirkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan Kerajaan Negeri di bawah pemerintahan Kon Yeow yang sudi menerima kunjungan tersebut, pertemuan tertutup selama hampir 30 minit itu antara lain membincangkan beberapa perkara utama melibatkan golongan belia termasuk penganjuran aktiviti-aktiviti oleh pihaknya yang dilihat kian berkurangan ekoran kekangan peruntukan.

Walau bagaimanapun, difahamkan MAYC Pulau Pinang masih menjalankan beberapa program berskala kecil dan penganjuran kelas tuisyen secara percuma kepada golongan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di kawasan Seberang Perai.

Hadir sama, Ahli-ahli Jawatankuasa MAYC Pulau Pinang.

Kon Yeow dalam pada itu menyatakan bahawa beliau akan cuba mempertimbangkan permohonan sumbangan yang dimohon persatuan berkenaan bagi menganjurkan dua program belia masing-masingnya di kawasan Seberang Perai pada April ini.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI