Tiga sekolah kekalkan kejuaraan

PARA pelajar menunjukkan hadiah berupa wang tunai, sijil serta trofi yang dimenangi.
PARA pelajar menunjukkan hadiah berupa wang tunai, sijil serta trofi yang dimenangi.

SEBERANG PERAI – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Onn dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) True Light yang telah menjuarai Anugerah Emas Sekolah Hijau pada tahun ini bagi kategori sekolah menengah dan rendah bahagian Seberang Perai wajar dijadikan sekolah contoh di atas kesungguhan mereka memelihara alam sekitar.

Budaya memelihara alam sekitar yang ditunjukkan oleh sekolah berkenaan selari dengan kempen Pulau Pinang Bersih dan Hijau oleh Kerajaan Negeri.

Pengetua SMK Dato’ Onn, Calsom Ibrahim berkata, tanpa kesepakatan antara para guru dan pelajar, mustahil sekolah berkenaan berjaya mempertahankan kejuaraan itu dua kali berturut-turut.

Turut menerima Anugerah Emas adalah SMK Convent Bukit Mertajam dan SMK Berapit bagi kategori sekolah menengah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Jawi dan SK Permatang Tok Kandu (kategori sekolah rendah).

Anugerah yang disampaikan di Auditorium Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) turut dihadiri oleh Ahli Majlis MPSP, Oon Neow Aun serta Pengarah Eksekutif Continental Automotive Components Malaysia Sdn. Bhd., Yen Siew San sebagai penaja program.

Tahun ini turut menyaksikan pertambahan penyertaan yang mana sebanyak 17 sekolah menengah telah mengambil bahagian sekolah rendah (19) berbanding tahun lalu, sekolah menengah (16) dan sekolah rendah (14).

Sementara itu, bagi bahagian pulau, turut mengekalkan kejuaraan bagi kategori sekolah menengah adalah SMK (Perempuan) Methodist manakala SJKC (Perempuan) China, kategori sekolah rendah.

Juara keseluruhan bakal diumumkan dalam majlis khas pada 17 Disember ini.