Projek ‘Toy Stories’ bangunkan kemahiran motor kanak-kanak

SEBAHAGIAN permainan kanak-kanak yang terdapat di perpustakaan permainan Pusat Jagaan Kanak-kanak Rifle Range.
SEBAHAGIAN permainan kanak-kanak yang terdapat di perpustakaan permainan Pusat Jagaan
Kanak-kanak Rifle Range.

AIR ITAM – “Permainan bukan mainan semata-mata. Permainan sebenarnya membantu mengembangkan kreativiti dan imaginasi kanak-kanak,” kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Wanita, Keluarga dan Komuniti, Lydia Ong Kok Fooi pada pembukaan perpustakaan permainan di Pusat Jagaan Kanak-kanak Rifle Range di sini baru-baru ini.

Permainan kanak-kanak sering disalah erti oleh sebilangan ibu bapa dan masyarakat kerana dianggap boleh melalaikan dan menjejaskan proses pembelajaran kanak-kanak. Walhal, permainan sebenarnya membantu membangunkan kemahiran motor kanak-kanak jika dipilih dengan cara yang betul.

Oleh yang demikian, perpustakaan permainan kanak-kanak telah dibina di Pulau Pinang bagi menyebarkan nilai-nilai pendidikan yang terdapat pada mainan.

Menurut Pengerusi Projek ‘Toy Stories’ Pulau Pinang, Dr. Sim Joo Seng, apabila kanak-kanak bermain bersama-sama, mainan membantu mereka menjadi kawan tanpa mengira kaum. Semangat setiakawan dan saling membantu juga akan wujud dalam diri setiap kanak-kanak apabila mereka berkumpul bersama.

Sehingga kini, terdapat 12 buah perpustakaan permainan di sekitar negeri ini termasuk bahagian pulau bertempat di pusat jagaan kanak-kanak dan pusat komuniti terpilih.