Tingkat kesedaran derma darah, bantu kurangkan masalah kekurangan tabung darah di hospital – ADUN

Admin

PULAU BETONG – Program derma darah yang berlangsung semalam merupakan satu program yang dapat memberi kesedaran awam dan membantu mengurangkan masalah kekurangan tabung darah di hospital.

Perkara itu disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail pada Kempen Derma Darah, Setitis Darah Seribu Harapan dekat Kolej Vokasional Balik Pulau.

Mohd. Tuah Ismail bergambar bersama-sama peserta dan pihak terlibat dalam program kempen derma darah dekat Kolej Vokasional Balik Pulau.

Menurut beliau, program tersebut mampu meningkatkan kesedaran awam khasnya kepada pelajar kolej vokasional di sini untuk tampil menderma darah.

“Aktiviti menderma darah merupakan satu kebajikan yang besar dalam menyelamatkan nyawa manusia.

“Saya mengharapkan agar program ini dapat memberi contoh kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) khususnya Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pulau Betong untuk menganjurkan lebih banyak program sebegini.

“Bukan sahaja mampu memupuk sifat penyayang tetapi juga menyuburkan sikap sedia menolong dalam kalangan masyarakat yang tidak terbatas pada satu kaum dan juga agama,” ujarnya sejurus merasmikan majlis berkaitan.

Mengulas lanjut, Mohd. Tuah menyelitkan pesanan Nabi Muhammad SAW berhubung lima perkara sebelum lima perkara iaitu sihat sebelum sakit, lapang sebelum sibuk, kaya sebelum miskin, senang sebelum susah dan muda sebelum tua untuk dijadikan amalan kehidupan seharian bagi membantu keceriaan dan juga kesejahteraan hidup.

“Kita perlu menjaga anugerah kesihatan ini dengan baik yang bebas dari segala penyakit seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan sebagainya supaya kita boleh turut serta menjadi sebahagian daripada penderma darah,” katanya.

Difahamkan, jumlah penderma darah bagi program tersebut adalah seramai 106 orang dan 31 daripadanya merupakan pendaftar penderma organ.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: ADUN