Pertandingan Inovasi dan Kreativiti MBPP, galak kakitangan lebih berinovasi dalam proses kerja

Admin

GEORGE TOWN – Kumpulan Licensing Buzz dinobatkan sebagai juara bagi pertandingan Inovasi dan Kreativiti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada tahun ini sekaligus melayakkan mereka memenangi wang tunai berjumlah RM1,000 berserta hadiah utama berupa tiket penerbangan tajaan syarikat AirAsia Berhad.

Naib Johan pula milik kumpulan Ops 4 dan tempat ketiga, kumpulan Mandiri yang berjaya membawa pulang wang tunai masing-masing bernilai RM800 dan RM500.

Idea kreatif mencipta Pembaharuan Kapit Tayar melayakkan kumpulan Ops 4 memenangi tempat kedua.

Hadiah tersebut disampaikan oleh Setiausaha Perbandaran, Ir. Addnan Mohd. Razali mewakili Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang, di sini sebentar tadi.

Sebelum itu, Ir. Addnan dalam ucapannya menyeru kepada kakitangan MBPP untuk bergerak seiring dan menerima pakai teknologi terkini dengan menerap masuk serta mengeluarkan idea-idea yang lebih berinovatif dalam proses kerja sedia ada.

Kumpulan Mandiri dengan inovasi menggunakan pokok-pokok tumbang sebagai produk bermanfaat untuk masyarakat.

“Sekiranya kita ingin berbangga dengan MBPP yang bercirikan bandar pintar, berdaya huni dan bahagia, maka sudah tiba masanya kita membuat perubahan kepada sistem penyampaian perkhidmatan dan tidak hanya selesa dengan perkhidmatan yang sama sahaja.

“Pihak pentadbiran telah menunjukkan sokongan dengan menyediakan platform iaitu melalui pertandingan ini untuk warga Majlis menyalurkan idea-idea yang berinovatif lagi kreatif.

“Justeru, saya menyeru kepada semua supaya menggunakan peluang ini dengan sebaik-baiknya kerana hasilnya akan pulang kembali kepada kita dalam bentuk pembaharuan yang memudahkan kerja sehingga layak diberikan pengiktirafan,” katanya semasa merasmikan pertandingan berkenaan.

Terdahulu, Licensing Buzz membentangkan idea kreatif mereka dalam menghasilkan inovasi melalui penciptaan aplikasi bagi membolehkan pihak MBPP menjalankan temuduga untuk mendapatkan lesen gerai, pasar, kompleks dan tapak penjaja secara dalam talian.

Kumpulan tersebut terdiri daripada tiga anggota iaitu Intan Amran Chew, Nurhafizah Muhamad Salim dan Nurul Izzati Amirudin dari Bahagia Khidmat Pengurusan dan Bahagian Pelesenan MBPP.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN