Tingkatkan hasil pesawah dengan penggunaan dron – Exco Agroteknologi

Admin

SEBERANG JAYA – Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin menyeru pesawah negeri supaya memanfaatkan penggunaan pesawat tanpa pemandu ‘dron’ dalam sektor pertanian demi meningkatkan tahap sara diri (SSL) negara di Pulau Pinang

DR. Norlela Ariffin

Menurutnya, penggunaan dron di kawasan ‘jelapang padi’ Seberang Perai yang berkeluasan 2,398 hektar mampu meningkatkan SSL negara kepada 80 peratus pada masa hadapan berbanding 71.6 peratus bagi tahun 2020.

“Saya difahamkan, dengan penggunaan dron untuk kerja-kerja menabur benih, meracun, membaja dan lain-lain boleh dilaksanakan (secepat) enam minit sahaja untuk satu hektar tanah sawah.

“Ini bermakna, pengusaha sawah juga boleh menjimatkan kos, tenaga buruh dan masa selain daripada keberkesanan yang dapat dipertingkatkan dengan penggunaan dron.

“Secara tidak langsung, ini dapat meningkatkan hasil pendapatan pengusaha sawah pada akhir musim penanaman padi berbanding dengan kaedah penyelenggaraan ladang (secara) konvensional,” jelasnya semasa menyampaikan ucapan perasmian penutup dalam Kursus Pengendalian dan Simulasi Dron Dalam Tanaman Padi di perkarangan Kompleks Koperasi Kerjaya Permatang Nibong Pulau Pinang Berhad di sini pada 17 Mac 2021.

Baginya, inisiatif Jabatan Pertanian Negeri dan Pejabat Pertanian Daerah menganjurkan kursus selama dua hari dengan penglibatan 16 belia yang berbakat dalam mengendalikan dron tersebut sebenarnya adalah selaras objektif Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang mahu penerapan elemen Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) demi meningkatkan hasil pertanian dan pendapatan isi rumah rakyat.

“Oleh itu, kerajaan perlu membantu dalam meningkatkan pengeluaran hasil bagi setiap hektar tanah agar sasaran 8 hingga 10 matrik tan per hektar dapat direalisasikan, dan ini akan meningkatkan juga pendapatan pesawah melalui penggunaan dron,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti.

Selain itu, beliau turut berharap mereka yang menyertai kursus tersebut dapat memanfaatkan perkembangan ilmu dan teknologi yang ada dalam menguruskan tanaman padi masing-masing pada musim akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pertanian Negeri, Pejabat Pertanian Daerah Seberang Perai Utara dan firma penyembur racun pertanian pintar Sanyeong Agricultural Solutions Sdn. Bhd. kerana berjaya menganjurkan kursus tersebut.

SUHAIMI

Sebelum itu, Pengarah Pertanian Negeri, Muhaimin Ibrahim memberitahu bahawa pesawah di Pulau Pinang sebenarnya tidak perlu bimbang untuk memanfaatkan IR 4.0 memandangkan semasa ini terdapat kira-kira 35 unit yang boleh menawarkan perkhidmatan pengendalian dron untuk tujuan pertanian.

Pengarah Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang, Ir. Shukri Muslim turut menyertai acara ringkas penyampaian sijil pengendali dron untuk tujuan pertanian kepada para peserta kursus yang terlibat.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB