Ulang tahun ke-55: DAP tetap bertahan berteraskan prinsip perjuangan parti serta sokongan rakyat

SEJAK penubuhannya sehingga kini, Parti Tindakan Demokratik (DAP) membuktikan bahawa pihaknya terus memperoleh kepercayaan masyarakat di negara ini tanpa mengira latar bangsa, etnik mahupun agama.

Menyambut ulang tahun ke-55 pada tahun ini, DAP dilihat sentiasa konsisten dalam memperjuangkan ideologi politiknya bagi membentuk Malaysia yang adil dan saksama, demokrasi, bersatu padu serta bebas rasuah.

Kemuncaknya, DAP yang turut menganggotai komponen gabungan Pakatan Harapan (PH) telah dipilih oleh rakyat untuk mengambil alih kuasa pentadbiran Persekutuan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018.

Namun, kemenangan itu hanya bertahan selama 22 bulan sahaja apabila segelintir pemimpin parti komponen PH bertindak mengkhianati mandat rakyat dengan mengadakan pakatan bersama-sama pihak pembangkang pada ketika itu.

Di negeri Pulau Pinang, prestasi DAP di bawah kepimpinan Pengerusinya, Saudara Chow Kon Yeow juga dilihat cemerlang apabila berjaya memenangi 19 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRU14.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan ketika ditemui memberitahu bahawa sejak penubuhannya pada 18 Mac 1966, DAP telah berkembang mengikut beberapa fasa sehingga muncul sebagai sebuah parti yang progresif kini.

Kon Yeow berkata bahawa sepertimana parti-parti pembangkang lain pada awal pembentukannya, DAP juga tidak terlepas daripada berdepan pelbagai cabaran besar untuk memastikan parti itu kekal bertahan dalam arena politik tanah air.

“Kalau dilihat semula kepada perkembangan parti-parti politik khususnya parti pembangkang pada awal kemerdekaan, saya rasa DAP adalah satu-satunya parti pembangkang yang mampu bertahan.

“Bukan sahaja dalam pergolakan politik tanah air bahkan DAP juga muncul sebagai parti yang paling besar daripada segi keahlian di Dewan Rakyat iaitu dengan seramai 42 Ahli Parlimen.

“Jadi kita boleh lihat dalam sejarah 55 tahun ini, walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan, DAP tetap bertahan dengan sokongan rakyat yang memahami prinsip perjuangan parti ini,” ujarnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang ketika wawancara eksklusif bersama Buletin Mutiara.

Cabaran

Menurut Kon Yeow, cabaran terbesar sepanjang perjuangan selama 55 tahun adalah untuk menangani tohmahan bahawa DAP merupakan sebuah parti politik yang anti Melayu dan anti Islam.

“Tuduhan ini mungkin disebabkan perjuangan DAP adalah bermula di pusat-pusat bandar yang kebanyakan masyarakatnya terdiri daripada kaum Cina dan India.

“Oleh itu, isu-isu yang dibawa oleh parti pada masa itu mungkin kebanyakannya adalah mewakili suara rakyat minoriti dalam persekitaran yang mana kerajaan ketika itu adalah terdiri daripada kelompok etnik majoriti,” jelasnya.

Tambah beliau, selepas mengharungi perjuangan panjang, DAP kini berkembang menjadi parti politik kebangsaan yang mewakili semua kaum serta kumpulan etnik sama ada di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.

“Tidak ada mana-mana parti politik sehingga kini yang boleh berbangga untuk menyatakan bahawa ahli-ahli dan wakil rakyat parti mereka dianggotai oleh hampir semua kaum di negara ini melainkan parti DAP. Itulah keistimewaan parti kita,” tegasnya yang telah menyertai DAP sejak 1986.

Paling penting, Kon Yeow menyatakan bahawa DAP kekal dengan prinsip perjuangan untuk membentuk sebuah negara demokrasi berlandaskan keluhuran perlembagaan serta menegakkan undang-undang.

“Kita ingin melihat urus tadbir yang baik, kerajaan yang bersih tanpa korupsi serta hak-hak dan kepentingan rakyat terus terbela.

“Sementara bagi rakyat yang tertindas, DAP tampil menjadi wakil suara mereka dengan lantang dan berani sehingga ada dalam kalangan pemimpin kita dipenjara, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan dan sebagainya,” ulasnya.

Membentuk gagasan

Dalam mendepani pelbagai cabaran sepanjang 30 tahun kebelakangan ini, DAP tampil lebih progresif dengan menggembleng usaha untuk membentuk gagasan politik yang lebih ampuh dan merangkumi pelbagai kaum.

Bermula dengan Gagasan Rakyat (GR) dan Barisan Alternatif (BA), Kon Yeow berkata, DAP terus membuktikan keterbukaannya dengan pembentukan Pakatan Rakyat (PR) seterusnya Pakatan Harapan (PH) yang merupakan gabungan parti politik melangkaui batas kaum, agama dan wilayah.

“Selain isu-su yang mendasar seperti demokrasi berparlimen, hak asasi manusia, hak berpendidikan, kita juga sudah melangkau kepada isu-isu yang rakyat mahu kita perjuangkan.

“Misalnya, isu alam sekitar, perubahan iklim, teknologi, pendigitalan, pengurusan sisa, pencemaran laut, penggunaan tenaga efisien serta lain lain-lain turut menjadi fokus DAP pada masa kini dan akan datang.

“Keadaan ini menunjukkan bahawa parti DAP telah berkembang dengan baik dan tidak hanya terkongkong dalam idea bangsa, etnik dan agama semata-mata,” katanya.

Penyertaan golongan muda dan idea baru

Dalam pada itu, Kon Yeow menyifatkan penyertaan golongan muda adalah amat penting untuk memastikan sesebuah parti politik kekal relevan.

“Saya bangga melihat perkembangan baik ini yang mana pemuda dan pemudi diberi peranan baik dalam parti DAP. Ramai orang muda mendapat peluang bertanding kerana mereka merupakan tenaga baru.

“Jadi, kita boleh berbangga kerana DAP adalah parti politik yang paling banyak bilangan pemimpin politik muda yang mana hampir 40-50 peratus adalah berusia bawah 40 tahun,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa dalam memastikan perjuangan DAP terus segar, parti itu turut tampil mengetengahkan isu-isu baru sesuai dengan perubahan zaman.

“Dalam menangani COVID-19 contohnya, pemimpin serta ahli-ahli kita dipanggil mencari pengetahuan berhubung isu ini untuk dibawa kepada perhatian kerajaan supaya kita dapat tangani pandemik ini.

“Itulah peranan sesebuah parti iaitu perlu sentiasa meneroka perkara-perkara baru yang rakyat mahukan untuk menunjukkan keprihatinan kita terhadap permasalahan mereka,” tegasnya.

Harapan masa depan

Kon Yeow berkata, fokus DAP ketika ini adalah untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat selepas berlakunya episod pengkhianatan pada Februari tahun lepas yang membawa kepada kejatuhan kerajaan sah Pakatan Harapan.

“Saya jangka pilihan raya umum ke-15 adalah amat mencabar kerana semua parti politik perlu memulihkan keyakinan pengundi-pengundi kepada sistem demokrasi berparlimen di negara ini.

“Oleh itu, parti-parti politik dalam Pakatan Harapan perlu mengetepikan perbezaan demi membentuk gagasan yang kukuh bagi meyakinkan rakyat bahawa kita masih mampu menjadi kerajaan yang baik,” serunya.

Di Pulau Pinang pula kata beliau, kemenangan bergaya DAP dan Pakatan Harapan selama tiga penggal termasuk PRU-14 lalu bukan tiket untuk para pemimpinnya terus berasa terlalu selesa dan yakin.

“Sebaliknya, kita perlu terus meyakinkan para pengundi bahawa kita masih kekal sebagai gabungan politik yang boleh dipercayai dalam memperjuangkan nasib mereka.

“Saya percaya rakyat masih menaruh harapan kepada DAP dan PH. Justeru, kita harus menilai kembali kekuatan kita dalam perjuangan ini serta memperbaiki segala kelemahan yang ada,” ulasnya.

SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KE-55 DAP!