KETEKUNAN dan disiplin menjadi resipi utama kejayaan Pembantu Awam di Bahagian Jabatan Unit Tindakan Khas Tandas Awam Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), RAZIF RAMLI, yang baru-baru ini meraih tempat kedua dalam Anugerah Tandas Terbaik MBPP Tahun 2025.
Razif yang telah berkhidmat dengan MBPP selama sembilan tahun, kini menjaga Tandas Awam Kompleks Teluk Bahang sejak empat bulan lalu.
“Setiap hari, rutin saya bermula seawal jam 6 pagi dan berakhir sekitar jam 6 petang.
“Sepanjang tempoh tersebut, saya akan memastikan tandas sentiasa berada dalam keadaan bersih melalui pemantauan setiap satu jam serta cucian menyeluruh sebanyak tiga kali sehari.
“Kalau ternampak kotor, saya tidak akan tunggu lama dan terus membersihkan kotoran, jika terus dibiarkan, kotoran tersebut akan melekat dan susah untuk ditanggalkan,” ujarnya yang menetap di Bukit Minyak.
Menurut Razif, setiap tandas hanya dijaga oleh seorang pekerja sekali gus menuntut komitmen penuh bagi memastikan kebersihan pada tahap optimum.
“Bahan pencuci asas disediakan oleh pihak MBPP, namun boleh juga menggunakan wang sendiri untuk membeli pewangi atau peralatan tambahan demi memberikan keselesaan kepada pengguna.
“Meskipun begitu, tidak dinafikan cabaran utama datangnya daripada sikap segelintir pengguna yang meninggalkan sampah atau sisa di dalam tandas.
“Kadang-kadang kita baru sahaja bersihkan, lima minit kemudian sudah ada yang meninggalkan sisa.
“Akan tetapi, itu sudah memang tugas saya, (jadi) saya harus pastikan tandas sentiasa dalam keadaan baik dan bersih,” jelasnya lagi.
Di samping itu, selain memperoleh wang tunai RM600 dan barangan seperti water jet, pencapaian tersebut turut menyumbang markah tambahan dalam penilaian prestasi tahunan (SKP).
“Kemenangan yang diterima tahun ini memberi makna besar buat saya.
“Walaupun kemudahan tandas hanya dilengkapi fasiliti asas, saya tetap berusaha menambah baik ruang menggunakan inisiatif sendiri.
“Saya nak orang ramai rasa selesa, (apabila) tandas bersih, imej kita sebagai penjawat awam pun akan nampak baik,” tambahnya.
Razif berharap pengiktirafan tersebut menjadi dorongan untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan.
“Ini baru permulaan, dengan hadiah wang tunai yang diperoleh baru-baru ini, telah menjadi tanggungjawab saya untuk memberi lebih keselesaan untuk semua yang menggunakan tandas ni.
“Justeru, diharapkan agar usaha kecil ini dapat menjadi inspirasi kepada rakan setugas lain untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan, sekali gus memastikan kemudahan awam sentiasa berada dalam keadaan terbaik demi keselesaan pengunjung,” tuturnya menutup bicara.

Terdahulu, Tandas Pasar Awam Air Itam muncul tandas terbaik menewaskan Tandas Awam Kompleks Teluk Bahang (kedua) dan Tandas Awam Persiaran Gurney (ketiga).
Johan membawa pulang trofi, wang tunai RM800 dan sijil manakala tempat kedua (RM600) dan ketiga (RM400).
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN