Tinjauan : Penang Sentral masih lengang menjelang Aidilfitri, orang ramai pilih beli tiket awal secara dalam talian

img 8228 SUASANA di kaunter tiket berpusat Penang Sentral, Butterworth semasa tinjauan menjelang tengah hari tadi.

MOD pengangkutan bas ekspres sehingga kini masih menjadi antara pilihan untuk rakyat bergerak pulang ke kampung termasuk pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Sehubungan itu, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB bersama-sama jurugambar NOOR SITI NABILAH NOORAZIS berpeluang membuat tinjauan lapangan mengenai arah kebiasaan utama rakyat di kompleks terminal pengangkutan awam bersepadu Penang Sentral dekat Butterworth di sini.

Menjelang tengah hari tadi, didapati suasana di sini agak lengang, tidak sampai 10 orang duduk di kerusi menunggu yang setentangan dengan kaunter tiket bersepadu di aras 2 kompleks.

Hanya dua kaunter sahaja dibuka ketika itu; satu kaunter untuk pembelian tiket secara datang terus (walk in). Manakala, satu kaunter lagi menyediakan perkhidmatan cetakan tiket naik bas atau ‘boarding pass’.

Mahu dikenali sebagai Alia, 23, seorang peniaga kedai makan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang ditemui kemudian memberitahu bahawa beliau sendiri masih belum membeli tiket bas untuk pulang raya.

“Macam hari ini, saya ke kaunter (tiket bersepadu) untuk cetak tiket naik bas sahaja, kerana saya menempah tiket secara dalam talian, menerusi platform eticket (https://eticket.penangsentral.com.my).

“Kebiasaannya tambah perjalanan sehala Penang Sentral ke Terminal Bersepadu Bandar Tasek Selatan (TBS BTS, Kuala Lumpur) pada bukan musim perayaan adalah antara RM35 hingga RM45 sahaja.

“Musim perayaan, kadar tambang sehala Kuala Lumpur ke Penang Sentral boleh sampai RM60, ia bergantung pada operator perkhidmatan bas ekspres dan bukan ditetapkan oleh syarikat operator penjualan tiket,” jelasnya sambil memberitahu bahawa kadar rata untuk cetak tiket naik bas sehingga kini masih RM1, begitu juga caj perkhidmatan pembelian tiket di kaunter secara datang terus.

img 8226
GAMBAR seorang warganegara sedang mengggunakan mesin tiket layan layan diri antara yang sempat dirakamkan tadi.

Menurutnya lagi, di Penang Sentral juga terdapat perkhidmatan pembelian tiket di mesin layan diri, jika mereka berasa leceh untuk berurusan di kaunter tiket bersepadu.

“Macam saya, untuk tiket pulang raya ke kampung nanti, mungkin akan membeli secara dalam talian juga di portal rasmi TBS, (https://eticketing.my/),” katanya.

Seorang lagi pengunjung, berbangsa Cina, yang mahu dikenali sebagai Alice, berkata beliau sekeluarga telah membeli tiket untuk pulang raya ke Johor Bharu semalam lagi.

“Sekarang, ada macam-macam platform pembelian tiket secara dalam talian, tiket musim raya sudah boleh dibeli sekarang.

“Kelebihannya, kalau membeli tiket musim perayaan pada waktu sekarang, harga mungkin seperti harga bukan musim perayaan, untuk perjalanan sehala Penang Sentral ke Larkin, antara RM65 hingga RM80, tidak sampai RM100,” jelasnya lagi.

Buletin Mutiara difahamkan, terdapat pelbagai platform pembelian tiket secara dalam talian, antaranya paling popular adalah easybook.com, busonlineticket.com dan m.redbus.my.

Sebelum pada itu, Buletin Mutiara sempat menemu bual seorang operator Penang Sentral, Butterworth.

Beliau yang enggan identitinya diketahui umum memberitahu bahawa kebiasaannya yang membeli tiket secara datang terus di kaunter tiket bersepadu adalah bukan warganegara baik pengembara antarabangsa mahupun pekerja bukan warganegara dari Bangladesh, Nepal, India dan sebagainya.

“Era digital ini, semua perkara termasuk tempah tiket bas boleh dibuat hujung jari sahaja (secara dalam talian), kalau tidak perlu lagi mencetak ‘boarding pass’, mungkin rata-rata warganegara akan terus akses bas dengan transaksi maya yang mereka buat sahaja,” ujarnya.

img 8229
SUASANA lengang di tempat menunggu kompleks bersepadu di sini.

Menurutnya lagi, dikatakan dalam beberapa tahun belakangan ini, nisbah pembelian tiket sempena musim perayaan di kaunter tiket bersepadu dan secara dalam talian adalah kira-kira 30:70.

“Kebiasaannya dalam tempoh dua minggu dalam bulan Ramadan ini, suasana di kaunter tiket bersepadu agak lengang; tapi selepas itu mungkin ramai, itu pun sebab bukan warganegara dan pelancong asing lebih selesa membeli tiket secara datang terus di sini,” jelasnya lagi.

Tambah beliau, dengan adanya perkhidmatan kaunter tiket bersepadu, mesin tiket layan diri dan tempahan tiket secara dalam talian, sekalian para pelanggan tidak perlu lagi bimbang dengan gejala ‘ulat tiket’ jika memilih mod perjalanan musim perayaan dari Penang Sentral, Butterworth.

“Tidak kisah kaedah apa pun beli tiket bas, seeloknya beli tiket bas sebelum 1 April (2024), jangan ambil risiko membeli tiket pada saat akhir (menjelang 1 Syawal),” sarannya.

END