Tinjauan : Polis, PPD komited pantau SOP sesi bersemuka di sekolah sekitar SPU

BEBERAPA pelajar Tingkatan 6 SMK Datuk Haji Ahmad Badawi mempamerkan info lengkap menerima dua vaksin, sebelum dibenarkan masuk ke perkarangan sekolah di sini pada pagi tadi.

BERTAM – Mulai pagi ini, di sekitar Daerah Seberang Perai Utara (SPU), sebanyak 12 sekolah di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), 10 sekolah biasa yang melibatkan pelajar Tingkatan 6 serta sebuah Kolej Vokasional kembali dibuka seperti biasa.

 

NORZAINY Mohd. Noor (dua dari kanan) serta tiga lain menyantuni seorang pelajar Tingkatan 6 SMK Datuk Haji Ahmad Badawi di pintu masuk sekolah pada awal pagi tadi.

Di pintu pagar utama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi di sini, kelihatan Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor ‘turun padang’ bersama-sama beberapa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi operasi pemantauan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.

Turut mengiringi, Pengarah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) SPU, Rosli Ibrahim dan Pengetua SMK Datuk Haji Ahmad Badawi, Adnan Idris.

Tinjauan umum Buletin Mutiara sejak 7:00 pagi tadi mendapati para pelajar Tingkatan 6 di sekolah tersebut hadir dengan mematuhi SOP yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara, termasuklah memakai pelitup muka.

Bercakap pada sidang media selepas itu, Noorzainy berkata bahawa pihaknya berpuas hati mengenai tahap pematuhan pihak pentadbir sekolah serta pelajar-pelajar berkenaan.

“Setakat (pagi) ini, didapati pihak sekolah dan pelajar-pelajar mematuhi SOP yang telah ditetapkan seperti pemakaian pelitup muka.

“(Dan), kita dapati juga semua pelajar-pelajar ini pun telah lengkap divaksin dua suntikan.

“Bersama-sama PPD, kita (PDRM) akan pantau pada waktu pagi dan semasa waktu balik sekolah; di samping memantau keadaan lalu lintas.

“Saya harap tidak adalah pelanggaran SOP dalam tempoh ini,” jelasnya kepada pemberita di sini pada 4 Oktober 2021.

 

PARA pelajar sedang membuat imbasan kod QR sebelum dibenarkan masuk ke kelas di sini tadi.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, beliau memberitahu bahawa seramai 66 pelajar Tingkatan 6 sepatutnya menjadi sesi persekolahan secara bersemuka di SMK Datuk Haji Ahmad Badawi.

 

GAMBAR tinjauan susulan di gerbang utama SMJK Jit Sin dekat SPT pada pagi tadi.

Semalam, Buletin Mutiara turut membuat tinjauan umum mengenai persiapan sesi persekolahan bersemuka di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sit dekat Taman Sri Rambai; dalam Kawasan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Menurut pihak pentadbiran sekolah berkenaan, seramai 143 pelajar Tingkatan 6 Atas yang sepatutnya hadir sesi persekolahan secara bersemuka bermula pagi ini telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin; sementara seorang lagi belum menerima sebarang dos pelalian berkaitan.

Seramai 15 pelajar Tingkatan 6 Atas memohon untuk terus kekal menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) atas pelbagai sebab tersendiri.

Menurut sumber sama lagi, kesemua kakitangan pentadbiran, tukang kebun, operator keselamatan serta pekerja kantin sekolah turut lengkap suntikan dua dos vaksin.

“Hari ini (4 Oktober 2021) jumlah kehadiran pelajar Tingkatan 6 Atas adalah kira-kira 91 peratus, isitu 131 orang daripada keseluruhan 143 orang datang ke sekolah pada pagi ini,” jelas sumber SMJK Jit Sin berkenaan sebentar tadi.

Difahamkan, semalam juga Balai Bomba dan Penyelamatan Cawangan Pekan Bukit Mertajam turut melaksanakan kerja-kerja sanitasi di sekolah berkenaan.

Dua hari lepas, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dilaporkan berkata bahawa Pulau Pinang termasuk dalam negeri-negeri Kelompak B dibenarkan menjalankan sesi pembelajaran secara bersemuka, setelah mengambil kira kedudukan semasa pandemik COVID-19.

PPD dengan kerjasama pentadbir sekolah diminta untuk memastikan semua SOP berkaitan dipatuhi termasuk sistem pengudaraan yang baik, penjarakan fizikal diamalkan serta senantiasa memakai pelitup muka semasa sesi persekolahan secara bersemuka.

Di samping itu, bagi sekolah yang melibatkan pelajar berasrama, SOP berkaitan yang digariskan antaranya kesemua penghuni diminta membuat tiga kali ujian saringan saliva (air liur) iaitu pada waktu pendaftaran, pada hari keenam dan hari ke-14 nanti.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB