Usaha transformasi tanah lapang jadi kawasan hijau dan rekreasi diteruskan – Jagdeep

Admin

AIR ITAM – Sejajar dengan tema Visi Penang2030 ke arah menjadikan Pulau Pinang sebuah Negeri Bersih dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, Kerajaan Negeri bersama-sama pihak berkuasa tempatan akan meneruskan usaha mentransformasikan kawasan tanah lapang menjadi taman kejiranan awam.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, Pulau Pinang mempunyai 1,166 kawasan tanah lapang yang telah dikenal pasti dan boleh ditransformasikan sebagai kawasan hijau dan rekreasi dalam bandar.

 

JAGDEEP Singh Deo.

 

Di bahagian pulau terdapat 241 kawasan tanah lapang manakala di Seberang Perai, 925.

 

“Selain itu, sejajar tema Visi Penang2030 juga, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menanam 500,000 pokok menjelang tahun 2030 yang mana kini lebih 300,000 pokok telah ditanam di seluruh negeri,” ujarnya pada sidang media yang diadakan menerusi platform Facebook Live di sini pagi ini.

 

Jagdeep yang diiringi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang, barisan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta Pengarah Landskap MBPP, Azizul Fahmi Muhamad dan wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat meninjau perjalanan projek menaik taraf Taman Kejiranan Desa Mawar dekat sini.

 

PROJEK penarafan Taman Kejiranan Desa Mawar ini mengambil masa selama lapan bulan untuk siap mulai Mei 2021.

 

“Projek yang dijalankan di atas tapak berkeluasan 6,862 meter persegi ini menggunakan teknologi panel solar (panel fotovoltan) sebagai usaha mempercepatkan agenda bandar karbon rendah di negeri ini.

 

Kos keseluruhan projek ini adalah RM686,470.60 yang mana RM526,470.60 adalah daripada Kerajaan Negeri dan baki sebanyak RM160,000 daripada MBPP.

 

“(Dan) ia dijangka siap sepenuhnya pada bulan Disember 2021 nanti,” jelasnya.

 

POKOK-POKOK teduhan dan renak ditanam sebagai eleman hijau yang mengindahkan taman awam ini.

 

Difahamkan, apabila siap kelak, Taman Kejiranan Desa Mawar yang menerapkan ciri-ciri Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDGs) ini dilengkapi dengan taman permainan kanak-kanak; dataran serba guna; ruangan rehat dan rekreasi; pergola, laluan pejalan kaki, Mawar Pavilion serta alatan senaman luar yang memenuhi reka bentuk universal. 

 

Sebagai rekod, Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat memaklumkan bahawa di bawah pentadbiran MBPP terdapat sebanyak 62 projek penghijauan dan naik taraf tanah lapang yang menelan belanja RM12.34 juta. Manakala di bahagian Seberang Perai di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pula terdapat 71 projek (RM18.29 juta).

 

Dalam pada itu, Soon Siang ketika ditemui menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan MBPP yang cakna dengan keperluan rakyat.

 

JOSEPH Ng Soon Siang.

 

“Projek ini merupakan projek yang dinanti-nantikan oleh penduduk di sini dan saya berharap agar projek kehijauan seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan demi rakyat Pulau Pinang,” katanya.

 

Dalam perkembangan berasingan, Jagdeep menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat di negeri ini atas kerjasama yang diberikan dalam membendung penularan virus COVID-19.

 

“Walaupun semalam menunjukkan penurunan kes di seluruh tanah air termasuk di Pulau Pinang, saya berharap rakyat tidak leka dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

 

“Malah, saya berharap kita semua kekal berdisiplin bagi memastikan momentum (penurunan kes) tersebut berterusan dan kemudiannya mencapai sifar kes.

 

Kerajaan hanya boleh menguatkuasakan SOP dan sebagainya tetapi pematuhan terserah kepada rakyat.

 

“Saya percaya kedua-dua pihak berkuasa tempatan (MBPP dan MBSP) akan meneruskan pemantauan di kemudahan-kemudahan awam termasuk di pasar-pasar dan kompleks makanan bagi memastikan pematuhi dipatuhi,” tegasnya.

 

Semalam, kes baharu dicatatkan seluruh Malaysia adalah 9,066 kes manakala di Pulau Pinang (620).

 

Beliau turut memberitahu bahawa pihaknya akan mengadakan mesyuarat lanjut berhubung cadangan untuk meneruskan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) bagi kategori kanak-kanak.

 

Semalam, ketika pertemuan bersama-sama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (di Dewan Sri Pinang bagi penutupan program MOVAK), saya telah mencadangkan supaya MOVAK diteruskan.

 

“Jika sebelum ini untuk kategori peniaga, kali ini untuk kanak-kanak pula dan secara prinsip beliau bersetuju. Maka, hari ini kita akan membincangkannya secara lanjut dalam mesyuarat nanti,” katanya lagi.

 

Tambahnya lagi, rekod semasa yang diperoleh beliau bagi program vaksinasi melibatkan remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun di negeri ini adalah 63.5 peratus atau bersamaan 89,900 orang telah menerima dos pertama manakala golongan dewasa yang lengkap dua dos mencecah 85.5 peratus daripada 1.77 juta pendaftaran di MySejahtera. 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN