Tinjauan: Putrajaya wajar timbang syor lanjutkan operasi perniagaan makanan, kata responden

SEBELUM PKP operasi kedai makan 24 jam dengan 173 menu menarik, kata pengusaha Adik Abang Cafe dengan tema perniagaan ‘sedapnya jadi oqang Penang’.

KERAJAAN Persekutuan wajar mempertimbang syor bagi melanjutkan operasi perniagaan makanan sehingga 10:00 malam, berbanding 8:00 malam yang diputuskan sempena pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) kini.

Demikian respons AZFANIZAM HASHIM, 45, yang mengusahakan perniagaan makanan Adik Abang Cafe di Taman Pauh Jaya dekat Parlimen Permatang Pauh apabila diajukan soalan berhubung keadaan perniagaannya.

AZFANIZAM Hashim

“Buat masa ini, perkhidmatan penghantaran makanan FoodPanda banyak membantu perniagaan makanan kami.

“Apabila SOP (prosedur operasi standard) PKP 2.0 tidak membenarkan pelanggan makan di kedai maka semua pelanggan setia dan baharu kami terpaksalah membeli secara bungkusan.

“Cuma, kalau bolehlah, Kerajaan Persekutuan lihat semula rungutan semua pihak berkepentingan.

“Pelanggan yang baru bergegas pulang dari tempat kerja memang tak sempat beli makanan secara pandu lalu, kalau kedai makan ditutup jam 8:00 malam…patut lanjutkan operasi sehingga jam 10:00 malam.

“Seperkara lagi, SOP seperti dua orang sahaja dihadkan makan semeja di kedai makan elok dipertimbangkan semasa PKP (2.0) ini,” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR di sini pada 21 Januari 2021.

Semasa sesi tinjauan umum pada pagi tadi, responden turut menjelaskan bahawa beliau membuka kedai makanan tersebut sejak tujuh tahun lalu.


KINI, operasi perniagaan sangat bergantung pada khidmat pengantaran Food Panda, carian di Facebook https://www.facebook.com/aacafetpj/ ataupun boleh menghubungi Azfanizam menerusi nombor telefon 01118910689.

 

Sebelum pelaksanaan PKP kali pertama pada 18 Mac 2020, beliau memberitahu bahawa Adik Abang Cafe beroperasi 24 jam sehari dengan 173 menu menarik.

“Apabila dilaksana PKP 2.0 ini, hasil jualan kasar saya terus merosot, kira-kira hampir 80 peratus.

“Justeru, pertimbangkan cadangan operasi kedai makan sehingga jam 10:00 malam, benarkan rakyat makan di kedai makan dengan had dua orang semeja.

“SOP sebegitu sangat membantu pengusaha kedai makan dan pada masa yang sama membantu Kerajaan untuk memutuskan perebakan virus (COVID-19),” jelasnya lagi.

 

SHAMSUL Munir Safini

Responden kedua, SHAMSUL MUNIR SAFINI, 37, pemilik Lomaq Coffee dekat Persiaran Tuna,  Seberang Jaya turut memohon Kerajaan Persekutuan melihat semula SOP sektor perniagaan makanan sedia ada.

“FoodPanda umpamanya, kitaran bayaran kepada pengusaha premis makanan macam saya, dibuat 10 hari sekali, sementara GrabFood tiga hari sekali walhal peniaga memerlukan pendapatan tiap-tiap hari.

“Jadi, memang patut pun Kerajaan lihat semula pelaksanaan SOP sekarang, kenapa para peniaga mahu sangat tempoh operasi perniagaan makanan dilanjutkan sehingga jam 10:00 malam.

“(Dan), kenapa pengusaha kedai makan macam saya sangat berharap Kerajaan Persekutuan melonggarkan lagi SOP dengan membenarkan orang makan di kedai makan, terhad dua orang sahaja untuk tiap-tiap meja.

“Macam saya, kalau pengunjung dibenarkan makan di restoran, setiap hari saya ada pendapatan dalam bentuk tunai juga,” katanya.

GAMBAR seorang penunggang FoodPanda mengambil pesanan makanan di sebuah restoran di sini tadi.
FENDI Mohd. Yusof

Bagi responden ketiga pula, FENDI MOHD. YUSOF, 40-an, SOP PKP 2.0 yang dilaksanakan sejak 13 Januari lalu sangat menjejaskan perniagaan char kuetiau di Taman Sutera, Seberang Jaya.

“Memang tidak dapat dinafikan, normal baharu PKP sekarang turut mengubah tabiat perniagaan.

“Contoh, operasi pasar malam diubah menjadi pasar hari yang beroperasi mulai jam 1:00 petang hingga 7:00 malam kerana ikut SOP, perniagaan makanan mesti henti operasi pada jam 8:00 malam.

“Tetapi, macam saya jual char kuetiau, makanan lazim dimakan pada sebelah malam, takkan sahaja nak jual pada sebelah pagi.

“Kalau perniagaan char kuetiau mula dibuka pada jam 6:00 atau 7:00 petang, takkanlah nak ditutup jam 8:00 malam (berdasarkan SOP PKP 2.0).

“Char kuetiau sesuai dimakan masak panas-panas, jadi tak sesuai kalau nak pakai FoodPanda dan GrabFood.

“Lagi pun, SOP seperti had dua orang sahaja makan satu meja, memang telah dilaksanakan di kedai char kuetiau sebelum pelaksanaan PKP 2.0, jadi elok diteruskan.

“Jadi, sebagaimana dirungut oleh rakyat dan peniaga kedai makan, eloklah tempoh operasi perniagaan makanan dilanjutkan sehingga jam 10:00 malam sekurang-kurangnya.

“Lagi satu, kalau boleh PKP dilaksanakan ikut lokaliti yang berada dalam zon merah sahaja, janganlah buat sampai semua negeri (kecuali Sarawak) seperti sekarang, pendapatan kami terjejas teruk sekarang,” jelasnya lagi.

Selasa lepas, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu berhubung cadangan pelbagai pihak untuk melanjutkan tempoh operasi perniagaan makanan sehingga jam 10:00 malam.