Tinjauan : Tangguh sesi sekolah 1 November, tumpu program vaksinasi pelajar hingga selesai

Admin
TINJAUAN umum Buletin Mutiara pada awal pagi ini turut dibuat di sekitar kawasan kediaman rumah pangsa Ampang Jajar dekat KADUN Seberang Jaya.

PENANTI – Sesi persekolahan secara bersemuka dibuka secara berperingkat mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri masing-masing.

Mengambil kira status beberapa negeri yang mula beralih ke fasa PPN berikutnya, baru-baru ini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka di negeri Pulau Pinang dibuka mulai 1 November 2021.

Sehubungan itu, Buletin Mutiara sejak awal pagi tadi cuba mendapatkan maklum balas secara rawak berhubung perkembangan terbaru ini.

AMIR Md. Ghazali

Menurut Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Mengkuang, AMIR MD. GHAZALI, 48, keputusan yang dibuat Putrajaya itu wajar dipertimbang semula atas beberapa faktor.

“Macam saya, masih ada ada tiga orang lagi (anak) bersekolah, hanya yang Tingkatan 3 sahaja telah lengkap menerima dua dos suntikan, sementara yang Darjah 3 dan Darjah 1 belum menerima apa-apa suntikan vaksin lagi.

“Saya faham tujuan sekolah dibuka dalam tempoh sebulan sebelum cuti sekolah hujung tahun ini merupakan projek perintis untuk melihat sama ada sesuai atau tidak dibuka sesi persekolahan secara bersemuka sepenuhnya seperti biasa pada tahun hadapan… mungkin sama seperti pembukaan Langkawi sebelum ini sebagai projek perintis untuk sektor pelancongan negara.

“Namun, langkah membuka sesi persekolahan secara bersemuka akan memberi risiko kepada anak-anak yang masih belum menerima walau satu suntikan vaksin.

“Sepatutnya pada peringkat Putrajaya memperbaiki lagi sesi persekolahan dengan menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ataupun melaksanakan sesi pembelajaran secara hibrid.

“(Dan) di samping itu, meningkatkan kecepatan kadar kelajuan pemberian vaksin kepada populasi pelajar di Pulau Pinang,” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara di sini pada 28 Oktober 2021.

Baru-baru ini Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dilaporkan berkata bahawa populasi remaja yang telahpun menerima suntikan pertama vaksin di Pulau Pinang adalah kira-kira 89.7 peratus, sementara yang lengkap mendapatkan dua dos pula mencapai 75.0 peratus.

AYUNI Bakri

Mengulas lanjut, kerani di Pejabat Pengurusan Pasar Awam Sementara Seberang Jaya, AYUNI BAKRI, 38, memberitahu bahawa anak sulungnya yang berusia 18 tahun telah lengkap menerima dua suntikan vaksin, sementara anak bongsu (11 tahun) tidak divaksin lagi.

“Kalau diikutkan, saya memang tak membenarkan anak bongsu saya yang Darjah 5 untuk ke sekolah pada 1 November depan.

“Kalau di rumah, saya dan nenek kepada anak saya memang boleh memantau segala aktiviti anak, namun di sekolah dengan jumlah pelajar yang ramai sangat sukar untuk memastikan mereka senantiasa mematuhi SOP (prosedur operasi standard) di dalam kelas.

“Bagusnya, KPM fokus pada memperbaiki PdPR, saya sendiri menunggu juga bilakah Kerajaan Persekutuan mahu mengumumkan program pemberian vaksin kepada populasi seusia anak saya (12 tahun dan ke bawah),” jelasnya sambil menganggap segala pendapat ini kerana bimbang mengenai jaminan keselamatan kesihatan anak-anak yang menyertai sesi persekolahan secara bersemuka.

Nada hampir sama turut dikongsi oleh seorang peniaga santan segera di Pasar Awam Sementara Seberang Jaya di sini tadi.

Mahu dikenali sebagai ‘TAUFIQ’, 49, beliau memberitahu bahawa kedua-dua anaknya berusia 20 tahun dan 16 tahun telah lengkap mendapatkan vaksin.

“Bagi saya, sepatutnya pelajar yang terlibat dalam peperiksaan besar seperti SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) sahaja dibenarkan mengikuti sesi pembelajaran secara bersemuka.

“Macam anak saya yang bakal menduduki SPM pada tahun depan (2022), memang wajarlah beliau menjalani sesi pembelajaran dalam kelas, manakala yang lain elok terus mengikuti PdPR.

“Mereka yang telah lengkap divaksin pun tidak kebal dan ada yang mati akibat COVID-19, apatah lagi pelajar-pelajar yang tidak divaksin, risiko mereka bukan rendah jika dikerah ke sekolah pada 1 November ini,” jelasnya sambil memberitahu peralihan dari satu fasa ke fasa PPN seterusnya bukanlah lesen untuk memperjudi nyawa anak-anak yang masih belum divaksin.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR