Tinjauan Umum: Pengguna puji kemudahan parkir bertingkat LTAPP

TINJAUAN mendapati kenderaan awam diletakkan pada bahu jalan bersebelahan bangunan parkir bertingkat Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas di sini pada petang tadi (24 Oktober 2023).

SEJAK 1 April lepas lagi parkir bertingkat Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang menyediakan sejumlah 1,732 petak kereta termasuk 22 tempat khas untuk Orang Kurang Upaya (OKU) di samping 660 petak untuk motosikal mula dibuka kepada orang awam di sini.

Dalam tinjauan umum Buletin Mutiara sejak tengah hari tadi, rata-rata responden yang ditemui mengaku bahawa kemudahan parkir bertingkat tersebut sedikit sebanyak menangani isu malar segar iaitu masalah kesesakan tempat letak kereta di sekitar lapangan terbang antarabangsa tersebut yang dihadapi sebelum ini.

Mahu dikenali sebagai Julia, seorang pramugari pesawat penerbangan tambang murah berkata kaedah pembayaran fi parkir secara tanpa tunai di aras lantai bangunan tujuh tingkat di sini boleh dikatakan ‘mesra pelanggan’ sebenarnya.

“Bagi pekerja dalam sektor penerbangan, kemudahan (parkir bertingkat) di sini adalah lebih baik berbanding keadaan parkir sebelum ini (yang mana) kenderaan yang diparkir dalam bangunan tidak terdedah pada perubahan iklim dan sebagainya,” katanya sambil memuji inisiatif Kerajaan Persekutuan menaik taraf kemudahan parkir di sini.

GAMBAR seorang pengunjung sedang menggunakan perkhidmatan mesin bayar parkir tanpa tunai di aras bawah bangunan parkir bertingkat LTAPP, Bayan Lepas di sini tadi.

Difahamkan kadar tambang kenderaan awam bagi empat jam pertama adalah RM3 sejam; diikuti RM2 sejam untuk jam kelima hingga ke-10.

Jam ke-11 hingga ke-19 seterusnya kadar tambang kenderaan awam di sini adalah RM1 sejam; dengan kadar tambang maksimum harian adalah RM33 sehari.

Bagi mereka yang kehilangan tiket pula didenda RM50, manakala RM100 jika tayar kereta dikapit kunci oleh pihak penguat kuasa di sini.

Kata seorang kakitangan penyelenggaraan lapangan terbang, FADLEY RAHIMEY, 40-an bahawa para pekerja di sini masih meningkat kadar tambang istimewa dengan menggunakan pas bulanan, berbanding kadar tambang untuk kenderaan awam atau pengunjung yang lain.

“Sebagai pekerja lapangan di LTAPP di sini, boleh dapatkan pas bulanan, kalau untuk parkir terbuka (di sebelah bangunan parkir bertingkat) hanya RM50 sebulan, kalau pas bulanan untuk parkir bertingkat RM80 sahaja,” jelasnya sambil menganggap ‘kadar istimewa’ tersebut adalah berpatutan.

Bagi FATIMAH BAKAR, 39, pula berkata pertama kali beliau menggunakan kemudahan parkir bertingkat tanpa tunai di sini, memang sedikit kekok walaupun mengakui ia lebih selesa berbanding keadaan sebelum ini.

“Sebenarnya saya memang biasa menggunakan mesin bayar parkir tanpa tunai, cuma pada petang ini agak kelam-kabut sedikit disebabkan tiket parkir saya hilang.

“Dengan bantuan kakitangan di sini, rupanya mesin bayaran tanpa tunai di sini boleh dimanfaatkan dengan memasukkan nombor pendaftaran kenderaan ataupun imbasan kod QR tiket parkir,” jelasnya.

Pun begitu, beliau berkata mesin bayaran parkir tanpa tunai ini agak kurang mesra pelanggan untuk mereka yang mahu mencetak keluar resit transaksi parkir.

Tinjuan wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI sebelum pada itu mendapati masih terdapat pengunjung menjadikan bahu jalan utama sepanjang LTAPP di sini sebagai tempat parkir, kemungkinan untuk tujuan menjemput penumpang pesawat ataupun enggan menggunakan kemudahan parkir terbuka mahupun parkir bertingkat di sini.

Sementara kawasan parkir bertingkat masih tidak penuh, kecuali tempat letak motosikal dengan kemudahan bayaran anda tunai menggunakan kad Touch ’n’ Go RM1 sekali masuk.

Terdahulu, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Iskandar Mizal Mahmood dalam satu kenyataan media pada 1 April lepas dilaporkan berkata berkata kemudahan parkir bertingkat LTAPP mula beroperasi selepas bangunan tersebut memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) daripada pihak berkuasa yang berkaitan.

Menurut beliau, pembangunan kemudahan parkir bertingkat tersebut juga adalah selaras dengan rancangan pembesaran lapangan terbang masa depan – dengan fasa pertama dijangka dimulakan dalam masa terdekat dan kapasitinya akan ditingkatkan kepada 12 juta penumpang setahun (MPPA) daripada 6.5 MPPA pada masa ini.

“Kemudahan ini dilengkapi dengan pengecaman nombor plat automatik dan kiosk aplikasi mencari kereta supaya pengguna dapat mengesan kenderaan mereka dengan mudah,” katanya dipetik dari sumber portal berita arus perdana.