Ekosistem, persekitaran perniagaan kondusif jadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang – TKMII

Admin

BAYAN LEPAS – Pulau Pinang berupaya kekal sebagai hab industri kepada syarikat-syarikat gergasi global berikutan ekosistem dan persekitaran perniagaan yang kondusif sekali gus menjadi pemangkin terhadap pertumbuhan ekonomi negeri.

Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata demikian ketika hadir merasmikan ASEAN Investment and Trade Forum (AITF) 2023 di Setia SPICE Convention Centre pada 24 Oktober, dekat sini.

JAGDEEP Singh Deo.

Menurut Jagdeep, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus menyediakan kemudahan dalam membangunkan landskap industri dinamik yang mendorong prospek pertumbuhan masa hadapan.

“Taman-taman perindustrian yang terdapat di negeri ini semuanya mempunyai (kategori) teknologi yang berbeza dan menjadi hab tumpuan dunia di Malaysia.

“Bukan hanya sektor tradisional (pembuatan) iaitu elektrik dan elektronik di Bayan Lepas (Zon Perindustrian Bebas) dan Prai tetapi juga (sektor lain seperti) aeroangkasa dan peralatan perubatan.

“Pulau Pinang juga mempunyai Taman Perindustrian Batu Kawan dan sekurang-kurangnya dua lagi taman perindustrian baharu sedang dibangunkan yang mana kini mempunyai 350 syarikat multinasional beroperasi dari pelbagai negara.

“Begitu juga perusahaan kecil dan sederhana yang mana terdapat 4,000 pemain industri kecil dan sederhana (IKS) dan kini Pulau Pinang menjadi antara negeri pengeksport terpenting bukan sahaja di rantau Asia Tenggara tetapi juga dunia,” ujarnya sambil melaungkan slogan ‘Penang Leads’.

JAGDEEP Singh Deo (berkot biru) sempat meluangkan masa melawat reruai yang terdapat di sini.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi, dalam pada itu memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa menyokong penganjuran acara perniagaan seperti AITF 2023.

“AITF 2023 merupakan platform penting dalam membuka ruang dan peluang untuk memahami tentang trend dan strategi perniagaan terkini.

“Malah, ia juga memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk membina jaringan dan memasarkan produk perniagaan ke peringkat antarabangsa sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi untuk rakyat di negeri ini.

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan penganjuran forum dan acara perniagaan seperti ini demi membina masa depan yang lebih baik dan makmur untuk negeri Pulau Pinang,” katanya.

ANTARA kenamaan yang hadir pada ASEAN Investment and Trade Forum 2023.

Turut berucap pada acara tersebut ialah Pengerusi AITF 2023 yang juga Pengasas dan Rakan Pengurusan Yeoh Mazlina & Partners, Datuk Seri Matthew Yeoh.

Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia atau MATRADE (Wilayah Utara), Saudah Mat Isa; Presiden SME Association of Malaysia, Ding Hong Sing; Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Khazanah Suria KL Berhad (KKSB), Datuk Sri Jason Chang dan Ketua Pegawai Eksekutif Westwood Group, Datuk Sri Trina Tan antara kenamaan bereputasi tinggi yang turut sama hadir pada acara tersebut.

Difahamkan, AITF dianjurkan bersempena Persidangan Tahunan Perikatan Undang-Undang ASEAN Ke-9 dan diadakan selama dua hari, 24 dan 25 Oktober di sini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NURATIKAH RAHMAT