TKM II syor Pelan Ekonomi Pasca COVID-19 Putrajaya tumpu tingkat sektor permintaan domestik

Admin

PERAI – Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin 2020 Pasca COVID-19 yang bakal diumumkan Putrajaya seharusnya memberi tumpuan kepada sektor permintaan domestik, dengan meluluskan perbelanjaan fiskal pada skala yang lebih besar jika mahu teras ekonomi rakyat secara keseluruhannya segera pulih.

P. Ramasamy.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy memberitahu bahawa pelbagai bentuk insentif bantuan kewangan yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin 2020 sebelum ini hanya untuk membantu golongan yang terjejas ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sahaja.

Lagipun, menurut Ramasamy, sektor perniagaan dijangka lambat untuk kembali pulih disebabkan permintaan domestik yang begitu rendah, walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan seperti skim pinjaman mudah, langkah moratorium dan sebagainya.

Justeru, menurutnya lagi, pasca COVID-19 Kerajaan Persekutuan perlu memperbanyak lagi projek-projek infrastruktur awam demi memastikan kitaran wang dalam ekonomi secara lebih sihat, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, sekaligus meningkatkan sektor permintaan domestik secara keseluruhannya.

“Walaupun ada moratorium bank, pelbagai skim pinjaman mudah dan pinjaman mikrokredit untuk membantu sektor perniagaan untuk pulih kembali, tetapi dalam keadaan permintaan domestik yang begitu rendah, orang tidak banyak pegang duit, bagaimana peniaga boleh menjual barang dan perkhidmatan mereka secara berlipat-kali ganda pasca COVID-19 ini.

“Jadi, Kerajaan (Persekutuan) perlu perbanyak lagi projek infrastruktur awam untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dalam ekonomi.

“Apabila lebih ramai orang memegang duit dalam ekonomi, barulah sektor permintaan domestik akan meningkat, kuasa membeli rakyat yang turut meningkat akan merangsang permintaan sektor perniagaan dalam negara secara tidak langsung.

“Kerajaan Pusat perlu terus pelan rangsang ekonomi dengan belanja lebih besar lagi…tumpu pada peningkatan (sektor) permintaan domestik.

“Saya jangka Pakej (Rangsangan Ekonomi Prihatin 2020 Pasca COVID-19) ini akan diumumkan selepas selepas 9 Jun ini.

“Kemudian, berdasarkan pakej rangsangan tersebut, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang akan mengolahnya untuk membuat Pakej Bantuan Kewangan Pulau Pinang 2.0,” jelasnya selepas menyampaikan hamper raya dan baucar khas kepada penerima terpilih peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Supreme di sini pada 22 Mei 2020.

Hadir sama, dua Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), P. David Marshall dan Jason Raj, serta Pengerusi MPKK Taman Supreme, K. Param.

P. Ramasamy (dua dari kiri) diiringi P. David Marshall (kanan sekali), Jason Raj (empat dari kiri) dan K. Param (kanan sekali) menyampaikan hamper raya dan baucer khas kepada salah seorang penerima terpilih di Dewan MPKK Taman Supreme, Perai pada pagi tadi.
GAMBAR beberapa penerima terpilih dalam kalangan penduduk setempat Taman Supreme dan Flat Teluk Indah di sini pada 22 Mei 2020.

Sebelum itu, David memberitahu bahawa program agihan hamper raya serta baucar khas secara berperingkat kepada 348 umat Islam terpilih ini adalah inisiatif Pejabat Pusat Khidmat KADUN Perai, yang diwakili Ramasamy.

Beliau berkata, program tersebut diharap dapat memberi kegembiraan kepada para penerima pada Hari Raya Aidilfitri.

“Pada tahun ini, tidak akan diadakan Rumah Terbuka Aidilfitri kerana kita masih dalam tempoh PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) demi memastikan kerja-kerja memutuskan semua rantaian perebakan COVID-19 berjaya secepat mungkin.

“Justeru, dengan peruntukan berwajib itu, kita ‘gantikan’ dengan memberi hamper raya secara berperingkat, maksimum 20 orang pada satu-satu masa mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang digariskan.

“Pada masa sama, para penerima boleh menggunakan baucar khas raya ini juga untuk membeli-belah di Pasific (dekat Megamall Pinang, Perai),” jelasnya.

Difahamkan, program agihan hamper raya dan baucar khas tersebut disampaikan secara berperingkat sejak 21 hingga 23 Mei, di kawasan komuniti Taman Chai Leng, Taman Supreme, Flat Teluk Indah, Pangsapuri KTM, Kampung Manggis dan Taman Inderawasih.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : G. REVATIC