TKM1 harap masjid, surau sedia peruntukan khusus nyah kuman

BERTAM – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata bahawa pihaknya berpuas hati dengan komitmen semua pihak berkepentingan dalam mematuhi Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) berwajib yang dikeluarkan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas acara menyampaikan sumbangan seekor lembu sempena Musim Hari Raya Korban kepada Kelab Kebajikan dan Sukan (KESEPADU) Pejabat Daerah Dan Tanah Seberang Perai Utara (SPU) di sini pada 4 Ogos 2020.

ROSMIN Yaakob

Sumbangan tersebut diserahkan sendiri kepada Ketua Penolong Pegawai Kanan SPU, Rosmin Yaakob.

“Ini, cuma program sumbangan untuk kelab kakitangan supaya dapat mengeratkan lagi kerjasama antara kedua-dua belah pihak, kenduri sempena Hari Raya Korban.

“Kita, seluruh negeri Pulau Pinang ini masih dalam PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan), ada peraturan dan SOP yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP).

“(Sempena musim perayaan Aidiladha,) memang ada pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak polis dengan kerjasama MAINPP (Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang) dan JAIPP.

“Begitu juga dengan Jawatankuasa Kariah Masjid serta surau dapat melaksanakan semua SOP itu, insyaAllah dapat mengurangkan risiko perebakan wabak COVID-19 ini lagi,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat.

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman

Selain itu, beliau yang juga Yang di-Pertua MAINPP memberitahu bahawa Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) telahpun membenarkan masjid dan surau beroperasi pada kapasiti penuh, ketika PKPP.

Justeru, baginya, masjid dan surau telahpun mempunyai pendapatan seperti biasa untuk dimanfaatkan untuk keperluan berwajib termasuk melaksanakan kerja-kerja nyah kuman di dewan solat masing-masing.

“Pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pertengahan bulan Mac lepas, Zakat Pulau Pinang (ZPP) memang ada mengeluarkan peruntukan khas kira-kira RM305,600 untuk tujuan bantuan pembersihan nyah kuman di masjid dan surau.

“Waktu itu, masjid dan surau semuanya ditutup, maka tidak ada pendapatan kalau jawatankuasa kariah nak menanggung kos nyah kuman dan sebagainya.

“Sekarang, masjid dan surau dapat dibuka semula dan dapat balik sumbangan orang ramai, maka, kita harap menyediakan suatu peruntukan khusus untuk meneruskan kerja-kerja nyah kuman ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS