Toh Puan Khadijah terima anugerah Darjah Utama Pangkuan Negeri

GEORGE TOWN – Isteri Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT), Toh Puan Khadijah Mohd. Nor menerima Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N) pada Istiadat Penganugerahan Khas dekat Victory Annexe, Hotel E&O di sini hari ini.

Toh Puan Khadijah menerima anugerah tertinggi Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang membawa gelaran Dato’ Seri Utama yang disampaikan oleh TYT, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak sebentar tadi.

Ketua Menteri dan isteri Puan Tan Lean Kee hadir menyaksikan Istiadat penganugerahan D.U.P.N oleh TYT Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak kepada Toh Puan Khadijah Mohd. Nor.

Istiadat penganugerahan Darjah disaksikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri, Puan Tan Lean Kee manakala bacaan doa disempurnakan oleh Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

Penganugerahan Darjah tersebut disampaikan sempena sambutan ulang tahun TYT yang ke-72 pada 10 Julai lalu, dan Toh Puan Khadijah mendahului 1,036 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan pada tahun ini.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang dan isteri; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof, Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD