Toray bangunkan pusat kecemerlangan IT di SPICE

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

BAYAN LEPAS – Toray Malaysia Systems Solution Sdn. Bhd. (TMS) yang bertapak di Pulau Pinang baru-baru ini mengumumkan untuk membangunkan pusat kecemerlangan teknologi maklumat (IT) di pusat konvensyen bertaraf dunia, Subterranean Penang International Convention and Exhibition (SPICE) dekat sini.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, pembangunan pusat kecemerlangan itu dijangka menyediakan lebih 100 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

“Buat masa ini, syarikat ini mempunyai 50 pekerja dan merupakan syarikat multinasional terawal dari Jepun yang membangunkan Pusat Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS)nya di sini.

“(Dan) semestinya Pulau Pinang akan terus membangunkan lebih banyak pusat kecemerlangan bukan sahaja dalam bidang IT, malah merangkumi bidang sains dan teknologi,” ucapnya pada Majlis Perasmian Pusat Kecemerlangan IT TMS di sini baru-baru ini.

Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi turut mengalu-alukan sumbangan TMS berjumlah RM300,000 dalam pembangunan projek Tech Dome Penang (TDP) pada 2015.

“Sumbangan tersebut telah membawa kejayaan kepada Pulau Pinang dalam memperkasakan lagi bidang sains serta teknologi di negeri ini, sekaligus melentur minat golongan muda untuk memilih jurusan kejuruteraan sebagai kerjaya…dan pastinya dapat memenuhi kehendak industri kini,” katanya.

Toray Group Malaysia dimiliki sepenuhnya oleh Toray Industries Incorporated (Jepun) yang merupakan antara peneraju pembangunan industri di Pulau Pinang.

Syarikat berkenaan kemudiannya mewujudkan TMS setelah melebarkan sayapnya ke Pulau Pinang dengan suntikan dana pelaburan berjumlah RM5 juta dan diiktiraf oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) sebagai syarikat berstatus Multimedia Super Coridor (MSC) TMS di sini memberikan perkhidmatan GBS dan IT bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat global termasuk reka bentuk sistem, pembangunan dan pengoperasian teknologi maklumat.