Town Hall Pembangunan Strata 2.0 semarak budaya pengurusan kendiri, tangani tunggakan cukai petak

Admin
33af9388 c288 4ae3 80d5 a6f5bcb1b7d2 FAIZAL Kamarudin

PENGANJURAN Town Hall Pembangunan Strata 2.0 yang dijadualkan berlangsung pada 2 Ogos 2026 di Dewan Sri Pinang mensasarkan penyertaan sekurang-kurangnya 500 peserta dalam usaha menyemai kesedaran mengenai peranan hakiki pemilik petak, menyokong elemen pendigitalan pengurusan serta menggempur isu tunggakan cukai petak di Pulau Pinang.

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Pulau Pinang, DATO’ DR. FAIZAL KAMARUDIN berkata, penganjuran siri kedua ini merupakan kesinambungan program sulung pada tahun 2025 yang sebelum ini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pelbagai pihak, termasuk wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB), Perbadanan Pengurusan (MC), pengurus hartanah, Pesuruhjaya Bangunan (COB) serta wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini termasuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Menurut beliau, salah satu matlamat utama penganjuran forum yang diadakan secara percuma (FOC) ini adalah untuk meningkatkan kesedaran pemilik petak mengenai kewajipan melangsaikan cukai petak.

“Pada tahun 2025, kita mendapati kadar tunggakan cukai petak di Pulau Pinang agak tinggi apabila dianggarkan 80,000 daripada keseluruhan kira-kira 300,000 unit petak strata masih belum menjelaskan bayaran.

“Ini merangkumi hampir 30 peratus atau satu pertiga daripada jumlah keseluruhan pemilik.

“Justeru, menerusi Town Hall ini, kita mengambil kesempatan untuk menyampaikan maklumat dan menggalakkan pemilik melangsaikan tunggakan berkenaan, di samping membincangkan isu pengurusan harian yang kerap dihadapi penghuni,” katanya kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS, di pejabatnya di Komtar pada 24 Julai 2026.

Konsep ‘Self-Management’ dan ‘Self-Regulation

Mengulas mengenai isu keharmonian dan cabaran pengurusan bangunan jenis kediaman bertingkat di negeri ini, Faizal menegaskan bahawa pemilikan strata menuntut kefahaman mendalam mengenai konsep pengurusan kendiri (self-management), pengawalseliaan kendiri (self-regulation) dan penyelesaian kendiri (self-resolution).

Jelas beliau, COB bagi kedua-dua PBT negeri wajar dilihat sebagai pemudah cara dan pemberi panduan, manakala tanggungjawab mentadbir skim serta harta bersama (common property) adalah terletak di tangan pemilik petak itu sendiri.

“Apabila seseorang membeli unit strata, mereka bukan sahaja memiliki unit kediaman tersebut, malah turut menjadi pemilik bersama (co-owner) bagi harta bersama serta bertanggungjawab menguruskan keseluruhan bangunan menerusi keahlian automatik dalam Perbadanan Pengurusan (MC).

“Segala undang-undang kecil (by-laws) diputuskan bersama dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) sesama mereka.

“Maka, sebarang pertikaian atau isu kebersihan, penyelenggaraan mahupun kerosakan lif sepatutnya diselesaikan secara musyawarah pada peringkat komuniti itu sendiri tanpa sentiasa bergantung sepenuhnya kepada COB,” katanya.

Beliau menambah, penerapan nilai keharmonian komuniti strata ini amat selari dengan aspirasi Visi Penang2030 bagi meningkatkan daya huni (liveability) dan kualiti hidup rakyat.

“Pulau Pinang kini mempunyai sekitar 320,000 unit strata berbanding 380,000 hak milik tanah.

“Dalam tempoh dua tahun lagi, tidak mustahil negeri ini bakal menjadi ‘negeri strata’ seumpama Hong Kong.

“Sebab itu, penting untuk kita membina komuniti strata yang harmoni dan saling mementingkan keharmonian bersama,” ulas beliau lagi.

Kelainan dan Pengisian Town Hall 2.0

Bercakap mengenai kelainan Town Hall Pembangunan Strata 2.0 kali ini, Faizal memberitahu bahawa program berkenaan akan menampilkan barisan penceramah dan panel jemputan daripada pelbagai latar belakang kepakaran.

Faizal berkata, beliau sendiri akan membentangkan kertas kerja persidangan berkaitan ‘Perkembangan dan Hala Tuju Pendaftaran Hak Milik Strata di Negeri Pulau Pinang’.

Menurutnya, Pegawai Undang-undang Bahagian Pesuruhjaya Bangunan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), M. Palaniappan akan membentangkan tajuk ‘Cabaran Pengurusan Strata dalam Memastikan Tadbir Urus Bangunan yang Berkesan dan Mampan’.

“Pengarah Eksekutif Kanan Knight Frank Penang, Mark Saw Khay Liang akan bercakap mengenai suatu tajuk yang tidak kurang pentingnya dan boleh dianggap sebagai kelainan dalam edisi Town Hall kali ini berbanding sebelum ini, iaitu ‘Digital Strata Revolution: The Way Forward’.

“Town Hall Pembangunan Strata 2.0 kali ini juga istimewa kerana turut menampilkan wakil Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), iaitu Penolong Pengarah Unit Perundangan Bahagian Strata, Muhammad Ridzuan Razlan yang akan membentangkan tajuk ‘Cabaran Pelaksanaan serta Penguatkuasaan Akta Pengurusan Strata 2013’,” jelasnya sambil berkata bahawa pembentang berkenaan mungkin akan menyentuh cadangan penambahbaikan terhadap akta sedia ada demi meningkatkan daya huni rakyat.

Di samping itu, Faizal berkata, menerusi Town Hall ini, pihak PTG negeri juga cuba memberi fokus terhadap usaha membantu skim kediaman lama yang masih belum memohon hak milik strata, merangkumi anggaran 20,000 unit, terutamanya bagi kes membabitkan pemaju yang telah gulung tikar.

img 6342Pendaftaran Masih Dibuka

Mengakhiri perbualan, Faizal memaklumkan bahawa setakat ini lebih 250 penyertaan telah diterima, manakala pendaftaran masih dibuka sehingga kuota maksimum 500 peserta dipenuhi.

“Program ini disediakan secara percuma termasuk makanan dan minuman hasil peruntukan Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tanah yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri.

“Saya menyeru semua wakil JMB, MC, pengurus hartanah, pemaju serta orang ramai yang berminat supaya tidak melepaskan peluang menyertainya dengan segera mendaftar secara dalam talian menerusi kod QR yang disediakan di akaun Facebook dan portal rasmi PTG Pulau Pinang,” ujarnya.