Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
PERAI – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo mengumumkan kelulusan kerja-kerja pembaikan lif bernilai RM193,658.40 melalui skim Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80% Pulau Pinang (TPM80PP) bagi Blok D2, Pangsapuri Teluk Indah 1 di sini baru-baru ini.
Katanya, kelulusan tersebut menunjukkan komitmen dan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keselesaan rakyat negeri ini dalam menyelenggara skim – skim perumahan layak yang berharga di antara RM42,000 hingga RM150,000.
“Sejak skim ini diperkenalkan pada tahun 2013, sebanyak 95 projek telah diluluskan, dan dilaksanakan bernilai RM11.16 juta.
“Manakala, tahun ini (2017) sehingga September lalu, sejumlah 36 projek telah diluluskan dengan nilai RM5.10 juta,” katanya ketika meninjau sendiri keadaan lif baru di lokasi berkaitan.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), M. Satees dan David Marshal.
Jagdeep dalam pada itu turut melahirkan kekesalan beliau terhadap prestasi Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) milik Kerajaan Pusat yang dilihat langsung tidak meluluskan peruntukan penyelenggaraan bagi negeri Pulau Pinang sejak tahun lepas.
“Pada 14 September lalu, saya arahkan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan MPSP untuk menulis surat kepada Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU) milik Kerajaan Pusat, tetapi sehingga kini telah hampir sebulan belum menerima maklum balas.
“Jika benar untuk tahun 2016 dan 2017 mereka (ICU) ada luluskan projek TP1M seperti didakwa melalui penerbitan satu buku, sila jawab surat itu,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.
Dalam pada itu, Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai menafikan dakwaan pihak tertentu
bahawa beliau tidak memberikan sebarang bantuan dalam usaha menambahbaik kemudahan Pangsapuri Teluk Indah.
“Untuk pengetahun semua, saya melangsaikan bayaran bil elektrik dan air di Blok E1 dan E2 yang bernilai hampir RM1 juta.
“Malah, saya turut menyumbang RM33,000 untuk pembaikan lif tersebut,” jelasnya.