Tradisi masak bubur lambuk mampu eratkan silaturahim – Ketua Menteri

Admin
img 20240323 wa0008

PADANG KOTA – Tradisi memasak bubur lambuk secara gotong-royong oleh penduduk Kompleks Jalan Kedah mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat berbilang kaum di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika hadir memeriahkan program memasak bubur lambuk Surau Flat Jalan Kedah dekat sini sebentar tadi.

“Saya dimaklumkan bahawa tradisi memasak bubur lambuk pada bulan Ramadan di Surau Flat Jalan Kedah telah berlangsung sejak 20 tahun lalu.

“Saya berasa bangga dan terharu kerana program seumpama ini bukan sahaja akan mengeratkan hubungan silaturahim malah turut memberi peluang kepada semua pihak untuk berkongsi rezeki terutamanya dengan mereka yang memerlukan.

img 20240323 wa0002

img 20240323 wa0001

“Sebagai tambahan, program ini juga memberi peluang kepada rakan-rakan bukan beragama Islam untuk mengenali dengan lebih dekat pengertian masakan yang begitu sinonim dengan bulan yang mulia ini,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli jawatankuasa Surau dan Persatuan Penduduk Jalan Kedah atas pelaksanaan program tersebut.

Hadir sama, Pengerusi Surau Flat Jalan Kedah, Mohd. Ikbal Hassan Mydin; Setiausaha Surau Flat Jalan Kedah, Zainul Alam; Pengerusi Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah, Abdul Wahab Shaikh Mydin; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Law Keng Ee serta Pengarah Pusat Khidmat Padang Kota/Parlimen Batu Kawan, Ewe Chee Way.

Sementara itu, Mohd. Ikbal menyatakan bahawa aktiviti memasak bubur lambuk secara gotong-royong diadakan pada setiap hari sepanjang bulan Ramadan.

“Bubur lambuk yang dimasak akan diagihkan kepada lebih 200 penduduk di sini,” ujarnya.

Difahamkan, selain penduduk Flat Jalan Kedah, bubur lambuk yang dimasak turut diagihkan ke surau-surau berdekatan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : LAW SUUN TING