Tradisi sambutan Hari Penjaja tanda penghargaan kini hanya di Pulau Pinang – Datuk Bandar

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sentiasa mendengar permintaan golongan penjaja termasuk berusaha memastikan kesinambungan aktiviti perniagaan golongan berkaitan, ujar Chow Kon Yeow.

Mengulas lanjut, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir itu berkata, semenjak Kerajaan Negeri mengambil alih pentadbiran negeri pada Mac 2008, pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah diminta menjalankan kerja-kerja naik taraf kompleks pasar dan makanan di sini.

“Mengikut rekod, sejumlah 24 kompleks pasar dan makanan telah siap dinaik taraf dalam tempoh 2009 hingga 2016.

“Manakala, sebuah pasar dekat Batu Feringghi kini dalam proses pembinaan.

“Bagi tahun 2017 pula, MBPP merancang untuk menjalankan kerja-kerja naik taraf Pasar Lebuh Campbell dan Pasar Jalan Anson.

“Lanjutan itu, MBPP telah membelanjakan hampir RM61 juta bagi tujuan naik taraf dan pembinaan baru kompleks pasar dan makanan sejak tahun 2009,” jelasnya sambil menyatakan perkara tersebut membuktikan bahawa Kerajaan Negeri dan kerajaan tempatan sentiasa memberi perhatian ke atas permintaan golongan penjaja serta peniaga di sini.

Kon Yeow berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Majlis Perasmian Hari Sambutan Penjaja Dan Komuniti Peniaga Tahun 2017 dekat Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif, Setiausaha Bandaraya MBPP, Ar. Yew Tung Seang, Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Difahamkan, MBPP merupakan satu-satunya PBT yang masih meneruskan tradisi penganjuran Sambutan Penjaja Dan Komuniti Peniaga di Malaysia.

Dalam pada itu, Maimunah memberitahu, sambutan tersebut diadakan saban tahun demi menghargai sumbangan penjaja dan komuniti peniaga dalam ekonomi bandar raya ini.

“Sebagai makluman, sambutan ini telah diadakan sejak tahun 1996 dan kini hanya MBPP sahaja yang masih meneruskan tradisi sambutan ini di dalam negara sebagai penghargaan kepada komuniti peniaga di Pulau Pinang.

“Sehingga sekarang, Majlis (MBPP) mempunyai 24 pasar yang mengandungi 2,738 unit gerai dan 37 kompleks makanan (1,246 gerai).

“Selain yang dinyatakan YB (Kon Yeow), MBPP juga merancang untuk membina sebuah pasar baharu di kawasan Teluk Kumbar tahun hadapan,” jelas beliau.