Tragedi Bukit Kukus : MBPP tubuh jawatankuasa dalaman khas – Datuk Bandar

Admin
尤端祥(右1)正在聆听邱思妮(左3)发表垄尾米桶山平行大道土崩事故的看法。

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah menubuhkan satu jawatankuasa dalaman khas yang terdiri daripada 10 ahli bagi menyiasat kejadian tanah runtuh di tapak projek jalan berkembar dekat Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di sini pada 19 Oktober lalu.

Datuk Bandarnya, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, jawatankuasa tersebut diketuai oleh beliau sendiri, Ir. Addnan Mohd. Razali (Setiausaha Bandaraya) dan pakar-pakar dalam bidang tertentu.

Menurut Tung Seang, jawatankuasa itu hanyalah untuk siasatan dalaman pihak Majlis bagi menyiasat dan mengetahui punca sebenar tragedi malang tersebut.

Jawatankuasa siasatan dalaman ini telah ditubuhkan sebaik sahaja kejadian tersebut berlaku, ia adalah bagi menyiasat sendiri dengan terperinci mengapa dan bagaimana punca kejadian ini berlaku.

Justeru, saya mohon kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi hingga laporan sebenar punca kejadian keluar.

Kami (MBPP) tidak akan sembunyikan apa-apa kebenaran dan tidak sesekali akan melepaskan tanggungjawab,” ujarnya pada sidang media khas yang diadakan sejurus selesai Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) di sini pagi ini.

Hadir sama Addnan dan Pengarah Kejuruteraan MBPP, Ir. A. Rajendran.

Pada sidang media tersebut, Tung Seang turut meluangkan masa menemui Khoo Salma Nasution dan Thang Yau Chuang yang mewakili Penang Forum bagi meluahkan keluhan dan permintaan mereka berkaitan kejadian tersebut yang meragut nyawa sembilan orang pekerja warga asing.

Terdahulu, sekitar 10 pagi Penang Forum dengan dianggotai kira-kira 40 individu mengadakan bantahan secara aman di hadapan Dewan Bandaraya bagi menuntut ketelusan dan kebenaran daripada pihak MBPP berhubung kejadian itu.

Mengulas lanjut mengenai siasatan yang akan dijalankan, Tung Seang memberitahu bahawa proses siasatan yang dijalankan oleh MBPP hanyalah untuk kegunaan dan rujukan pihak Majlis sahaja.

Sebaliknya, siasatan daripada jawatankuasa-jawatankuasa berasingan yang ditubuhkan Kerajaan Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) akan menentukan segalanya.

Kita tunggu sehingga laporan-laporan tersebut siap dan kami berjanji akan mengambil tindakan selanjutnya apabila laporan itu keluar,” tegas beliau.