Tragedi MH17 – bendera separuh tiang di P. Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mengadakan upacara mengibarkan bendera separuh tiang selama tiga hari (bermula 18 Julai lalu) sebagai memperingati mangsa-mangsa nahas kapal terbang penerbangan MH17 di ruang udara Ukraine baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya, menuntut keadilan dunia ke atas semua kehilangan jiwa yang dianggap sebagai suatu tragedi pembunuhan.

“Ini merupakan pembunuhan zalim beramai-ramai kerana tiada faktor (atau) masalah teknikal. Kita tuntut keadilan dunia untuk semua mangsa dalam tragedi ini,” tegasnya dalam nada sayu.

Menurut Guan Eng, upacara tersebut juga sebagai penghormatan kepada semua mangsa yang terbabit dalam insiden kehilangan pesawat MH370 sebelum ini.

Semua Exco Kerajaan Negeri, Ketua-ketua Jabatan serta agensi kerajaan turut serta pada himpunan tersebut.

Sebelum itu, Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor memimpin bacaan doa selamat untuk semua mangsa serta rakyat Pulau Pinang supaya diberi ketabahan dengan ujian seumpama tragedi MH370 sebelum ini.