Insentif guru agama bukti KN martabat Islam

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri menyampaikan sumbangan insentif RM300 kepada Guru Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) dan guru agama, manakala, RM200 kepada guru tadika Islam (TADIS), guru pondok dan guru tahfiz di negeri ini sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya memberitahu, Kerajaan Negeri akan terus bertindak dalam memartabatkan Islam di negeri ini walaupun seringkali diberi gambaran serong oleh Pembangkang Pulau Pinang.

“Kita (Kerajaan Negeri) senantiasa menghormati agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

“Dan, saya percaya apa-apa khabar angin yang mereka (Pembangkang Pulau Pinang) sebarkan mengenai Kerajaan Negeri dan saya, saya rasa saya nak jawab dengan tindakan sebagaimana kita buat di Masjid Seberang Jaya ini,” ujarnya pada Majlis Berbuka Puasa dan Program Sumbangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang Kepada Guru KAFA/SAR/ Tahfiz/Tadis/Guru Pondok 2014 di sini baru-baru ini.

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berucap, serta menyempurnakan majlis penyerahan insentif kepada semua penerima berwajib.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan), Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), dan Lee Khai Loon (ADUN Machang Bubok) turut hadir pada majlis itu.

Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar, Jusni Ismail (Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah) dan Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP).

Menurut Guan Eng, pentadbirannya turut akan terus berusaha mendalamkan persefahaman antara agama di negeri ini walaupun terpaksa berdepan dengan politik perkauman melampau oleh pihak tertentu.

Atas maksud itu, katanya lagi, Kerajaan Negeri pada 17 Julai lepas, buat pertama kali, Kerajaan Negeri menganjurkan majlis bersahur melibatkan kakitangan kerajaan, tidak kira orang Islam mahupun bukan Islam.

“(Majlis Sahur) itu adalah perkembangan yang baik untuk mendalamkan persefahaman antara agama. Kita akan meneruskan usaha ini supaya (rakyat) Pulau Pinang terus bersatu padu.

“Kita mahu meneruskan hubungan silaturrahim sesama semua bangsa di Pulau Pinang,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng turut merakamkan penghargaan kepada Rosli kerana menaja majlis berbuka puasa yang diadakan serentak dengan majlis penyampaian insentif berkenaan.