Tranformasi Sekolah simbol pembangunan modal insan, bantu Kerajaan Negeri tarik pelabur – Kon Yeow

BAGAN JERMAL – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berharap sudut baharu seperti Tapak Akuaponik Berteknologi, Sudut Berat Badan Ideal (BMI), kemudahan kamera aplikasi pintar kamera imbas wajah MATA serta Makmal Sains Kecerdasan Pintar (AI) yang berjaya diwujudkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mak Mandin di sini dapat dijadikan sumbu inspirasi kepada sekolah-sekolah lain bagi merealisasikan program Transformasi Sekolah (TS) yang sedang dilaksanakan Kementerian Pendidikan mulai tahun 2020.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa inisiatif yang dilaksanakan oleh Ahli Lembaga Pentadbir (ALP), guru-guru serta kumpulan penaja bukan kerajaan bagi mewujudkan empat segmen baharu pendidikan di sekolah tersebut sebenarnya secara tidak langsung membantu Kerajaan Negeri membangunkan modal insan, sekaligus mengukuhkan keyakinan pelabur ke Pulau Pinang.

KETUA Menteri turut mengambil peluang menggunakan aplikasi pintar kamera imbas wajah MATA di sini pada pagi tadi.
SALAH seorang murid memberi penerangan mengenai aplikasi pintar MATA kepada Ketua Menteri di Makmal Sains AI SJKC Mak Mandin di sini pada pagi tadi.

“Saya sering kali ditanya oleh pelabur dan bakal pelabur yang meninjau lokasi (serta prospek) pelaburan untuk mereka mendirikan industri di Pulau Pinang, melabur RM100 juta hingga hampir RM1 bilion, satu soalan yang selalu mereka bangkitkan (adalah) macam mana (program pembangunan) modal insan dan tenaga kerja kita (Pulau Pinang), cukup mahir atau tidak.

“Jadi, Kerajaan Negeri dalam tempoh 10 tahun ini telah memainkan peranan sampingan daripada apa yang dilakukan oleh Kementerian dan Kerajaan Persekutuan dengan memberi peruntukan dalam kadar kemampuan (kewangan) negeri.

“Justeru, Transformasi Sekolah ini adalah sangat penting… (kerana) sebagai pemimpin Kerajaan Negeri mahupun pemimpin negara, peranan kita adalah untuk menginspirasikan negara,” jelasnya pada Majlis Pelancaran Program Baharu bagi tahun 2020 di SJKC Mak Mandin di sini pada 17 Januari 2020.

DUA tetamu di Taman Akuaponik Berteknologi di SKKC Mak Mandin di sini.
KETUA Menteri, Law Choo Kiang serta barisan tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenang-kenangan di salah satu segmen hijau di SJKC Mak Mandin.

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal; Tan Khong Chong (wakil Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng); Timbalan Pengarah (Perancangan dan Pengurusan) Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Ismail Mohd. Said dan Pegawai JPN Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Masri Abdullah turut sertai acara rasmi tersebut.

Kon Yeow menyatakan bahawa STEM atau ‘Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik’, Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC), Kafe Sains Pulau Pinang (PSC), Tech Dome Pulau Pinang (PTC), Perpustakaan Digital Pulau Pinang, dan @CAT Penang (program tekno-keusahawanan dan revolusi perindustrian 4.0, IR4.0) merupakan antara program pembangunan modal insan meliputi umur kanak-kanak sehingga golongan belia, demi memupuk keyakinan pelabur terhadap sumber tenaga buruh mahir mencukupi di negeri ini.

Makmal Sains AI di SJKC Mak Mandin ini bagaikan pusat pembelajaran interaktif sains mini ‘Tech Dome Pulau Pinang’ atau PetroSains @ KLCC.

Terdahulu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi mengumumkan bahawa Pulau Pinang mencatatkan RM13.3 bilion jumlah pelaburan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) ke Pulau Pinang bagi tempoh bulan Januari hingga September 2019 (Q3 2019) atau menyamai 247 peratus peningkatan berbanding keseluruhan pelaburan yang diterima sepanjang tahun 2018, iaitu RM5.8 bilion.

Menurutnya, kemasukan pelaburan melalui 113 projek pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan di negeri ini berjaya mencipta kira-kira 15,013 peluang pekerjaan baharu.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD