Tubuh jawatankuasa khas siasat pencemaran Sungai Nipah

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menubuhkan suatu jawatankuasa khas bagi menyiasat isu pencemaran di Sungai Nipah dekat Kampung Naran, Batu Maung yang dipercayai berpunca daripada aktiviti pembuangan sisa secara tidak sah.

 

Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh berkata, jawatankuasa khas tersebut akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut.

 

“Tindakan susulan akan diambil (selepas menerima laporan daripada jawatankuasa khas tersebut),” responsnya kepada pemberita dalam sidang media yang diadakan di Komtar bersama-sama Ketua Menteri tengah hari ini.

 

Baru-baru ini, hasil pemantauan Buletin Mutiara bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain ke lokasi pencemaran mendapati terdapat sampah sarap yang dibuang ke dalam Sungai Nipah dipercayai berpunca daripada syarikat kitar semula.

GAMBAR yang dirakam oleh Buletin Mutiara pada 5 November 2020.

Turut ditemui adalah sisa daripada kilang, restoran dan kawasan kediaman berhampiran.

 

Difahamkan, sampel telah diambil bagi menentukan tahap pencemaran dan telah diserahkan kepada pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk tindakan susulan.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI