Usah tuding jari, perlu kerjasama semua putuskan perebakan COVID-19 – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow meminta supaya semua pihak termasuk pimpinan tertinggi di setiap negeri supaya bekerjasama dan bersepakat dalam membendung penularan COVID-19 di negara ini.

 

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap suatu artikel yang bertajuk ‘Pekerja kilang bawa pulang COVID-19 ke Kedah’ yang diterbitkan oleh sebuah akhbar tempatan berbahasa Melayu, semalam.

 

Menurut Kon Yeow, Pulau Pinang tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan menyalahkan mana-mana negeri sekiranya terdapat kluster-kluster luar yang merebak ke negeri ini. Sebaliknya, giat membantu bagi menangani pandemik COVID-19 secara bersama.

 

“Usahlah kita menuding jari serta menyalahkan negeri-negeri jiran dengan mengeluarkan kenyataan tidak profesional serta tidak membantu dalam usaha memutuskan perebakan wabak ini,” ulasnya dalam sidang media yang diadakan di Komtar hari ini.

 

KETUA Menteri memberi respons terhadap laporan media tempatan pada sidang media di Komtar tengah hari ini. Turut kelihatan, Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sedang membuat semakan dengan pihak berwajib berhubung perkara ini.

 

“Memang ada orang Kedah, orang Perak yang bekerja di kilang di Pulau Pinang dan dijangkiti tetapi berdasarkan makluman yang diterima (daripada JKNPP), bagi Kluster Bayan terdapat 13 kes positif luar Pulau Pinang iaitu enam di Kedah dan Perak (7),” ujarnya yang merujuk kepada dakwaan laporan berkaitan bahawa terdapat 77 kes membabitkan pekerja kilang yang pulang ke kampung halaman di Kedah positif COVID-19.

 

Terdahulu, dalam sidang media sama, Kon Yeow memaklumkan bahawa JKNPP melalui mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang yang diadakan pada 9 November 2020, telah mencadang supaya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman Pulau Pinang ditamatkan pada hari ini (11 November 2020) serta tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

 

“Bagi Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai pula, JKNPP pada mesyuarat sama menyatakan pandangan kemungkinan dan kebarangkalian penyambungan PKPD yang bermula pada 22 Oktober 2020 dan tarikh tamat pada 18 November 2020 sekiranya kes-kes jangkitan terus dikesan di lokasi berkaitan.

 

“(Dan) dalam masa sama, JKNPP akan terus menilai dari masa ke masa serta akan mencadangkan (pelanjutan) kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan penilaian risiko terkini yang dibuat. Keputusan akhir penyambungan PKPD adalah tertakluk kepada KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Putrajaya.

 

“Serentak itu, JKNPP juga akan meneruskan pemantauan di Mukim 13, Daerah Timur Laut membabitkan Kluster Intan dan akan mempertimbangkan sama ada PKPD perlu dilaksanakan di lokaliti-lokaliti berkaitan,” jelasnya yang juga Pengerusi JKKN Pulau Pinang.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI