Tubuh sekretariat hasil dialog suara anak muda

GEORGE TOWN – Seramai 43 belia menyertai Dialog Suara Anak Muda Peringkat Parlimen Balik Pulau anjuran Penang Youth Development Corporation (PYDC) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang baru-baru ini.

Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail berkata, Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) semasa merasmikan majlis itu melahirkan rasa gembira kerana Sekretariat Anak Muda Pulau Pinang berjaya ditubuhkan hasil program interaktif tersebut.

“Hasil dialog ini, kita berjaya menubuhkan satu sekretariat dan kita berjaya mendapat percambahan idea.

“Dari program ini, kita mendapat dua kumpulan. Satu, kumpulan remaja yang ada pendidikan serta boleh diketengahkan sebagai pemimpin di peringkat kampung, dan, satu lagi adalah remaja yang kita anggap sebagai kumpulan sokongan di peringkat kampung,” ujar Mohd. Tuah  dalam satu sidang media di Komtar baru-baru ini.

PPK Teluk Bahang, Datuk Abdul Halim Hussain turut hadir pada majlis tersebut.

PPK Bayan Lepas, Asnah Hashim tidak hadir, sebaliknya menghantar wakil sahaja.

Beliau berkata, program buat julung kalinya diadakan itu turut menerima partisipasi Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).

Interaksi dengan kepimpinan negeri, team building antara aktiviti menarik dalam program selama sehari itu.