Tujuh kerusi Ahli Majlis PBT dibuka kepada semua NGO, umum Jagdeep

JAGDEEP Singh Deo (depan, tengah) diiringi Ar. Yew Tung Seang (depan, kiri), Baderul Amin Abd. Hamid (depan, kanan) serta barisan Ahli Majlis lain selepas sidang media ringkas di Dewan Bandaraya (MBPP) di sini pada pagi tadi.

GEORGE TOWN – Anggota Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang layak serta berminat untuk dilantik sebagai Ahli Majlis bagi kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pulau Pinang diminta untuk menghantar permohonan berkaitan kepada Kerajaan Negeri sebelum 15 November depan.

 

JAGDEEP Singh Deo

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata sebelum ini hanya NGO tertentu ditawarkan untuk menghantar wakil bagi dipertimbangkan serta dilantik sebagai Ahli Majlis di Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), namun sejak tahun lepas tawaran tersebut dibuka kepada semua NGO di negeri ini.

Tujuan pelaksanaan polisi ini, menurutnya lagi, antara lain demi menyemarakkan amalan ketelusan dan semangat keterbukaan dalam proses membuat dasar pada peringkat PBT.

“Kita (Kerajaan Negeri) ada keputusan untuk menjemput ahli NGO juga untuk menyertai proses dalam membuat keputusan pada peringkat PBT.

“Wakil NGO yang berminat serta layak, boleh membuat permohonan mereka untuk dipertimbangkan,” jelasnya dalam sidang media di Dewan Bandaraya dekat Padang Kota Lama di sini pada 22 Oktober 2021.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; pemangku Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abd. Hamid; dan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Pulau Pinang, Nur ‘Aishah Md. Norodin; serta barisan Ahli Majlis bagi kedua-dua PBT berkenaan turut sertai sidang media ringkas tersebut.

Mengulas lanjut lagi, tempoh pelantikan Ahli Majlis MBPP dan MBSP bagi tempoh perjawatan tahun 2021 akan tamat pada 31 Disember depan.

Sehubungan itu, katanya lagi, proses pelantikan serta majlis mengangkat sumpah terimaan jawatan Ahli Majlis bagi kedua-dua PBT perlu dilaksanakan untuk tempoh pelantikan tahun 2022.

Difahamkan, Parti Tindakan Demokratik (DAP) diberi 10 kuota kerusi Ahli Majlis MBPP; lapan untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR); dua untuk Parti Amanah Negara (Amanah); dan empat kerusi bakal diisi oleh wakil NGO.

Sementara dalam MBSP pula, DAP diberi 10 kuota kerusi Ahli Majlis; PKR (9); Amanah (2); dan NGO (3).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS