PSP raih Anugerah Emas MTex, perlu RM40 juta lagi untuk kelangsungan inisiatif pintar – Jagdeep

Admin
JAGDEEP Singh Deo mempamerkan trofi berkaitan yang diterima sebagai lambang pengiktirafan inisiatif pintar PSP peringkat kebangsaan, di sini tadi.

GEORGE TOWN – Penang Smart Parking (PSP) memenangi Anugerah Emas bagi Konvensyen Team Excellence Peringkat Mini (MTEx) Wilayah Utara 2021 yang dianjurkan oleh agensi persekutuan, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) baru-baru ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo pada pagi ini merakamkan penghargaan kepada Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang saling bekerjasama dengan syarikat pengendali PSP, HieTech Padu Berhad dalam mewujudkan projek sistem tempat letak kereta pintar tersebut, secara Perkongsian Awam-Swasta (PPP).

“Melalui PSP ini, kita (Pulau Pinang) telah mencapai hasil kutipan yang begitu tinggi dalam tempoh dua tahun (sejak 2019) iaitu RM28 juta bagi kedua-dua bahagian Pulau dan Seberang Perai.

“Angka RM28 juta ini adalah melebihi hasil kutipan melalui kaedah lama kita (dengan menggunakan sistem kupon parkir).

“Saya begitu gembira pada pagi ini untuk mengumumkan bahawa sistem PSP kita telah memenangi Pingat Emas,” ujarnya di perkarangan hadapan Dewan Bandaraya dekat Padang Kota Lama di sini.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; pemangku Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abd. Hamid; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Pulau Pinang, Nur ‘Aishah Md. Norodin; serta barisan Ahli Majlis bagi kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan turut menyertai sidang media ringkas tersebut.

Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memaklumkan bahawa PSP mula dilaksanakan sejak 2019 dan setakat ini sejumlah 36,000 petak parkir awam di seluruh negeri ini telahpun dipasang sensor pintar.

Difahamkan, PSP juga turut dipilih sebagai johan dalam Malaysia Technology Excellence Award 2020; dan Pingat Emas peringkat antarabangsa dalam World Smart Sustainable Cities Organization (WeGO).

Lanjutan itu, Jagdeep berkata semua pengiktirafan tersebut sekali gus menunjukkan Pulau Pinang menerajui inisiatif pintar negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep turut memberitahu bahawa Pulau Pinang berharap Kerajaan Persekutuan dapat meluluskan RM40 juta peruntukan berkaitan untuk kelangsungan program inisiatif pintar di negeri ini.

“Bagi tempoh itu, pada tahun 2020, kita (Kerajaan Negeri) telah menulis surat rasmi kepada Kerajaan Pusat untuk memohon bantuan bagi melancarkan lagi projek-projek inisiatif pintar yang telahpun dilaksanakan kini.

“(Dan) yang kita (Pulau Pinang) minta adalah hampir RM40 juta, kita akan terus memohon untuk dipertimbangkan oleh mereka (Kerajaan Persekutuan) memandangkan semalam yang mana pada peringkat Jawatankuasa Pembangunan Wilayah (Utara Semenanjung Malaysia), salah satu elemen penting yang mereka (Kerajaan Persekutuan) sebut adalah menjadikan Malaysia negara pintar.

“Mereka (Kerajaan Persekutuan) sebut Pulau Pinang secara khusus dan harap Kerajaan Negeri boleh kongsi pengalaman… saya fikir mungkin untuk membantu Kedah, Perak (dan Perlis), ini tiada masalah untuk Pulau Pinang (berkongsi pengalaman) yang telah berjaya kita laksanakan,” jelasnya lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS