Tunai sehingga RM7,000 kepada pemenang cabutan bertuah acara promosi cukai taksiran MBSP

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melancarkan acara promosi cukai taksiran penggal kedua tahun 2020 khas bagi pembayaran secara dalam talian melalui agensi kutipan dan Kiosk Paylink, mulai 1 Julai hingga 31 Ogos ini.

Datuk Bandarnya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata pihaknya berharap promosi istimewa tersebut dapat menggalakkan lagi seluruh penduduk Seberang Perai untuk membayar cukai taksiran serta menjelaskan tunggakan dengan kadar segera.

“Promosi ini khusus kepada pembayaran cukai taksiran yang dibuat sepenuhnya secara dalam talian (online), melalui agensi kutipan dan kiosk sahaja.

“Cukai taksiran tahun 2020 hendaklah dijelaskan sepenuhnya berserta tunggakan, sekiranya ada.

“Pembayaran hendaklah dibuat dalam tempoh yang ditetapkan iaitu melalui 1 Julai 2020 hingga 31 Ogos 2020,” jelasnya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh Kali Ke-553 Bil. 7 Tahun 2020 di Dewan Kenangan, Menara Bandaraya MBSP di sini pada 28 Julai 2020.

Turut serta, Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod serta barisan Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Rozali memberitahu bahawa tempat pertama acara cabutan bertuah akan mendapat wang tunai RM7,000, diikuti tempat kedua (RM5,000), tempat ketiga (RM3,000), tempat keempat (RM2,000), dan tempat kelima (RM1,000).

“Hadiah wang tunai bagi cabutan bertuah kali ini sedikit rendah sebanyak RM7,000, berbanding RM8,000 hadiah wang tunai bagi acara promosi cukai taksiran penggal pertama sebelum ini.

“Justeru, saya menyeru kepada semua pemilik premis agar segera membuat bayaran cukai taksiran penggal kedua bagu tahun 2020 berserta tinggalan, jika ada, secara ‘online’ untuk melayakkan anda terpilih untuk cabutan bertuah,” jelasnya.

Sila hubungi nombor telefon 04-5497470 / 471 / 697 / 696 / 468 / 790 atau e-mel [email protected] untul mendapatkan maklumat lanjut mengenai terma dan syarat serta senarai hadiah yang ditawarkan kepada pemenang acara cabutan bertuah.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD