Menjelang Aidiladha, Datuk Bandar MBSP syor buang sampah di tong komunal dan RORO sebelum jam 10 malam

Admin

SEBERANG JAYA – Malam Hari Raya Aidiladha pada Khamis, 30 Julai 2020 ini, semua penduduk Seberang Perai termasuk pengendali kedai makan disyor membuang sisa sampah di tong komunal dan RORO sebelum jam 10 malam.

Mengulas lanjut, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata bahawa kerja-kerja mengutip sampah domestik dari tong komunal berserta RORO akan dilakukan sehingga jam 10 malam.

Langkah itu, menurut Rozali dapat menyerlahkan lagi kebersihan kawasan Seberang Perai pada awal pagi hari lebaran.

“Menjelang Hari Raya Aidilfitri lepas, ‘Wira Oren’ MPSP sampai terpaksa bekerja lebih masa sehingga jam 3 pagi, ada (Wira Oren bekerja lebih masa) sampai 4 pagi, kerana nak memastikan suasana pada awal pagi raya tak ada langsung lambakan sampah sama ada di tong komunal dan RORO dekat tepi jalan.

“Jadi, saya nak menasihatkan seluruh penduduk Seberang Perai termasuk mereka yang mengendali premis makanan, kalau ada sampah nak dibuang di tong komunal dan RORO, pastikan ia dilakukan sebelum jam 10 malam hari Khamis ini (30 Julai 2020).

“Ini kerana, kutipan sampah domestik untuk syif kedua (pada 30 Julai 2020) dari jam 5 petang hingga 10 malam…kutipan akan dibuat di tong komunal dan RORO sahaja,” jelasnya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh Kali Ke-553 Bil. 7 Tahun 2020 di Dewan Kenangan, Menara Bandaraya MBSP di sini pada 28 Julai 2020.

Turut serta, Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod serta barisan Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Menurut Rozali, pada 30 Julai 2020 iaitu sehari sebelum Hari Raya Aidiladha, kutipan sampah domestik akan dibuat sebanyak dua syif.

Syif pertama, menurutnya, dari jam 7 pagi hingga 4 petang dengan kutipan mengikut jadual biasa dari rumah ke rumah (skim perumahan) dan juga tong komunal beserta RORO.

Syif kedua pula, menurutnya lagi, dari jam 5 petang hingga 10 malam melibatkan kerja-kerja mengutip sampah dari tong komunal dan RORO sahaja.

Pada Hari Raya Pertama Aidiladha pula iaitu pada Jumaat, 31 Julai 2020, Rozali memberitahu kutipan sampah domestik akan bermula pada jam 3 petang.

“Penambahbaikan pada jadual kutipan sampah ini demi memberi peluang kepada Wira Oren kita (MBSP) untuk menyertai solat sunat Aidiladha ataupun Solat Jumaat, sebelum bertugas pada jam 3 petang,” jelasnya lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD