Tunjuk prestasi kerajaan ‘pro rakyat’

Admin
KETUA Menteri

GEORGE TOWN – Sehingga habis penggal pentadbiran Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa pihaknya akan terus melibatkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan demi memastikan pelaksanaan dasar-dasar ‘pro rakyat’ yang direncanakan berjaya dan senantiasa memihak kepada penduduk Pulau Pinang.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian semasa merasmikan Majlis Berbuka Puasa Peringkat Parlimen Tanjong, anjuran NGO Persatuan Iman Pulau Pinang.

“Saya akan meneruskan perkara yang telahpun diamanahkan kepada (pentadbiran) saya yang melibatkan sekalian (harapan) pengundi dan rakyat jelata serta NGO.

“Pada akhirnya, (saya berharap) kita dapat menunjukkan prestasi kerajaan ‘pro rakyat’ ini yang akan senantiasa membawa polisi yang lebih memihak kepada rakyat Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong dalam majlis berkaitan di Dewan Persatuan Saudagar-Saudagar Permata Dan Penutian Wang Muslim Pulau Pinang (MJMC) dekat sini pada 29 April 2022.

KETUA Menteri merakamkan gambar dengan barisan pemimpin utama NGO berkaitan di sini tadi.

Di samping itu, Kon Yeow berharap Persatuan Iman Pulau Pinang di bawah teraju presidennya, Shahul Hameed; Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Haja Najmudeen Kader serta beberapa NGO berkaitan lain akan terus melaksanakan peranan masing-masing dalam memakmurkan ekonomi serta kualiti hidup rakyat terutama umat Islam di bandar raya ini.

Turut serta, ADUN Komtar, Teh Lai Heng; Presiden MJMC, Datuk Dr. Anwar Hussen; Pengerusi Kariah Masjid Kapitan Keling, Datuk Meera Mydin Mantan dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Dr. Shahul Hameed.

Serentak pada majlis sama, Kon Yeow turut menyampaikan sumbangan ‘duit raya’ kepada 20 penerima terpilih dalam kalangan kelompok isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) sekitar kawasan Parlimen Padang Kota di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & Video : ALISSALA THIAN