TUTM kini ‘Tabung Usahawan Tani’, sehingga usia 60 tahun layak pinjam – Exco

Admin

SEBERANG JAYA – Tabung Usahawan Tani Muda (TUTM) kini dikenali sebagai Tabung Usahawan Tani, dengan had umur layak meminjam diperluaskan sehingga 60 tahun.

Exco Kesihatan, Pertanian & Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Afif Bahardin berkata, sebelum ini, tabung pinjaman mikro kredit tanpa riba tersebut ditawarkan kepada usahawan muda sehingga umur 40 tahun sahaja.

“Kini, had umur layak meminjam diperluaskan sehingga usia 60 tahun dengan kadar pinjaman maksimum adalah RM5,000 tanpa riba.

“Manakala, bagi usahawan muda berusia di bawah 40 tahun, layak meminjam maksimum RM6,000, iaitu kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) tambah RM1,000 berbanding hanya RM5,000 pinjaman maksimum di bawah Tabung Usahawan Tani Muda (TUTM) sebelum ini,” ujarnya pada penganjuran Bengkel Plant Booster dan Kursus Pengurusan Perosak Bersepadu Projek Kelompok Sayur Kampung Pertama di Dewan Terbuka Sekolah Rendah Kebangsaan Cina (SRJKC) Seng Keow di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Shahbani Ismail atas penganjuran bengkel berkaitan yang
membabitkan 50 peserta.

Bercakap kepada pemberita, Afif memberitahu bahawa Kerajaan Negeri melalui TUTM sebelum ini telahpun meluluskan pinjaman mikro kredit kepada 91 penerima, dengan kadar bayar balik pinjaman mencapai 82 peratus.