‘Tutup kedai jika barang tak elok’ – Abang Mad

AHMAD Hashim atau lebih dikenali sebagai Abang Mad.
AHMAD Hashim atau lebih dikenali sebagai Abang Mad.

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : IDZHAM AHMAD

 

BERMULA dengan gerai makan biasa bersajikan nasi lemak serta kuih muih, kini, Kedai Makanan dan Minuman Pak Hassan yang terletak di bahu Jalan Taman Makok, Padang Lalang begitu terkenal bukan hanya dalam kalangan masyarakat tempatan, malah juga luar negeri.

 

Uniknya, kedai makan yang kini menyajikan masakan lauk pauk berserta nasi dibuka seawal 8 pagi hingga 2 petang tiap-tiap hari kecuali cuti umum.

 

Kira-kira 30 lauk pauk kecuali masakan daging disajikan pada setiap hari kepada para pelanggan yang terdiri daripada 50 peratus berketurunan Melayu dan bakinya, Cina.

 

MASAKAN lobak masin.
MASAKAN lobak masin.
KARI ikan pari.
KARI ikan pari.

Selepas Pak Hassan atau nama sebenar, Hassan Derani meninggal dunia pada tahun 1993, perniagaan tersebut kemudian dikendalikan menantu Allahyarham, Ahmad Hashim dan anaknya, Salmah Hassan.

 

Ahmad atau lebih dikenali dengan panggilan Abang Mad, 61, menyatakan bahawa perniagaan arwah bapa mertuanya beroperasi sejak 1960-an dahulu.

 

“Selepas tiga bulan berkahwin dengan anaknya (Salmah, kini berusia 57 tahun), arwah minta Abang Mad buat nasi.

 

“Mungkin masa tu, bapa mertua tengok Abang Mad takde kerja,’’ selorohnya yang berasal dari Jalan Permatang Rawa, Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah (SPT).

 

Pada peringkat permulaan, Abang Mad yang sebelum ini banyak mempelajari teknik memasak melalui majlis-majlis kenduri di kampungnya menyatakan bahawa hanya lima hingga enam jenis lauk sahaja dihidangkan ketika itu.

 

Antaranya, lobak masin (chai por), telur goreng dan ikan goreng.

 

“Saya belajar masak dari orang Cina sebab masa tu, ramai kontraktor Cina yang buat piling di sini.

 

“Contohnya, masakan kicap masak hitam memenuhi citarasa orang Melayu, tapi, untuk orang Cina makan, kena pakai daun bawang,’’ jelasnya kepada Buletin Mutiara baru-baru ini.

 

Prinsip Abang Mad untuk menarik pelanggan adalah mudah iaitu bekalan barangan masakan perlu berkualiti, bersih, amanah  dalam perniagaan dan menggunakan resipi asli tanpa perencah tiruan – ajinomoto.

 

Menurut beliau, sekiranya ikan yang dibekalkan adalah tidak elok, Abang Mad akan menutup operasi premisnya walaupun dalam tempoh seminggu.

 

“Kalau ambik ikan yang tak elok, orang (pelanggan) akan tahu kerana yang datang makan juga adalah penjual-penjual ikan di pasar.

 

“Barang tak elok sekiranya dihidangkan akan menjejaskan nama baik kedai,’’ ujarnya sambil menyatakan bahawa jumlah pelanggan harian secara puratanya mampu mencecah 800 orang.

 

Menyentuh mengenai hidangan istimewa beliau, Abang Mad menyatakan bahawa keistimewaan di sini adalah kari ikan pari.

 

“Kualiti ikan pari yang dibekalkan dan cara bersih ikan adalah penting bagi elak bau,’’ jawab beliau ringkas.

 

Mengulas lanjut, Abang Mad menyatakan bahawa beliau mereka sendiri masakannya berdasarkan maklum balas yang diberikan para pelanggan.

 

“Saya tidak belajar dari mana-mana, masa budak (20-an), saya pergi ke dapur tengok orang masak untuk kenduri membabitkan jumlah jemputan 5 hingga 6,000 orang.

 

“Saya memang minat. Walaupun rakan-rakan sering mengajak bermain bola, minat saya adalah lebih kepada bidang masakan,’’ nyata beliau yang juga banyak membuat kajian masakan dihasilkan.

 

Istimewanya, masakan Abang Mad adalah tidak ditambah dengan ajinomoto. Malah, rempah yang digunakan adalah campuran beliau sendiri dari bahan-bahan asal.

 

“Kalau tiada inisiatif buat rempah sendiri, rasa masakan kita akan sama dengan kedai-kedai lain.

 

“Kita juga tidak boleh tipu. Jangan tipu bahan-bahan yang diletakkan dalam masakan. Letak apa, kena ngaku,’’ tegas beliau.

 

Menyentuh mengenai cabaran dalam bidang diceburi, Abang Mad menyatakan bahawa adalah ketika tiada bekalan ikan yang mana beliau terpaksa tutup operasi kedai pada hari berkenaan.

 

Walaupun dikurniakan lima cahaya mata, tiada seorang pun anak Abang Mad yang ingin mewarisi kepakaran beliau.

 

Bagaimanapun, beliau yang peramah dan kini memiliki dua orang cucu akur dan menghormati pilihan anak masing-masing.