BAYAN LEPAS – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini bukan lagi sekadar laluan alternatif, sebaliknya telah diiktiraf sebagai laluan strategik utama yang melengkapkan golongan muda dengan kemahiran praktikal bagi memenuhi tuntutan pasaran kerja berteknologi tinggi.
Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo menegaskan bahawa modul TVET yang dinamik memberikan pelajar pendedahan kepada dunia pekerjaan sebenar, yang amat dihargai oleh para majikan, sekali gus menjadi kunci penting dalam mendepani era automasi.
Berucap ketika merasmikan program Hari TVET @FutureTech Academy 2026 hari ini, Jagdeep yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi berkata, transformasi landskap industri yang kini berpaksikan kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan telah melonjakkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi ke tahap yang amat kritikal.
“Untuk mengekalkan daya saing, kita mesti terus melabur bukan sahaja dalam aspek infrastruktur dan teknologi, malah yang paling utama adalah pelaburan dalam modal insan dan di sinilah TVET memainkan peranan yang sangat penting,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.
Di samping itu, beliau turut memuji langkah proaktif Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) menerusi FutureTech Academy yang berjaya menyelaraskan modul akademik dengan keperluan industri semasa bagi memastikan rantaian bekalan bakat negeri sentiasa mampan.
Bagi menyokong pengajian dalam laluan strategik tersebut, Jagdeep turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara PSDC dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Kolaborasi tersebut bertujuan memperluas akses kepada pendidikan TVET berkualiti melalui peningkatan sokongan pembiayaan bagi program yang relevan dengan keperluan pasaran.
Pada akhir ucapannya, beliau menyeru para pelajar dan ibu bapa agar tidak melepaskan peluang untuk meneroka kerjaya masa depan menerusi TVET.
“Saya optimis bahawa sinergi kukuh antara kerajaan, pihak industri yang menyediakan latihan amali serta institusi pendidikan akan terus memperkasakan Pulau Pinang sebagai hab inovasi terkemuka,” katanya lagi.
Turut hadir ialah Pengerusi PSDC, Datuk Solomon Lorthu; Timbalan Pengerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Ramelle Ashram Ramli; dan Ketua Pegawai Eksekutif PTPK, Profesor Adjung Mohd. Fathullah Mustafa.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB