Pulau Pinang wajar terima pulangan lebih seimbang hasil sumbangan ekonomi

Admin
e64422cc 7fbe 426c 974c ed551c32958a

AIR ITAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Pulau Pinang sebagai antara negeri penyumbang utama hasil negara wajar menerima pulangan lebih seimbang bagi tujuan pembangunan.

Menurut beliau, meskipun negeri ini menyumbang lebih banyak kepada hasil Persekutuan berbanding apa yang diterima semula, ia bukanlah tuntutan untuk layanan istimewa, sebaliknya sekadar pertimbangan bagi memperkukuh pembangunan negeri.

“Pulau Pinang memang menyumbang lebih banyak kepada pusat berbanding apa yang kita terima semula.

“Malah, kita bukan minta layanan istimewa, tetapi sekadar memohon sedikit pertimbangan yang wajar bagi tujuan pembangunan negeri, agar pelaksanaan projek dan kemudahan yang dirancang dapat terus diperkukuh serta memberi manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Menaik Taraf Astaka Kampung Melayu dekat sini pada 4 Julai 2026.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong serta barisan Ahli Majlis MBPP.

f11ce6ff ffae 4355 95fc caf90bbd736f
KETUA Menteri semasa sesi berucap.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menegaskan bahawa prinsip Persekutuan perlu dihormati, dengan setiap negeri memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kelancaran pentadbiran negara.

“Kita faham prinsip Persekutuan perlu dihormati. Setiap negeri mempunyai peranan masing-masing dalam memastikan pentadbiran negara berjalan lancar,” ujarnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

2314f1da b3ad 43c1 99de cec54227dcd1 c49fc8ce 57fb 43eb 82c0 e7027ec5db68 f0cd44a0 813d 4ce7 8102 c947274560b8
Dalam pada itu, Kon Yeow turut menegaskan bahawa pencapaian Pulau Pinang sebagai antara negeri penyumbang utama eksport negara serta pelaburan asing dan domestik bukan sekadar angka, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada kemudahan serta kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.

“Pulau Pinang ketika ini kekal antara negeri teratas dari segi pelaburan serta prestasi ekonomi, khususnya dalam sektor semikonduktor, elektronik, perkhidmatan dan pelancongan kesihatan, selain menyumbang lebih 30 peratus eksport negara.

“Kita tidak boleh lihat pencapaian ini sebagai angka semata-mata, ia mesti diterjemahkan kepada kemudahan dan kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.

“Sehubungan itu, kemajuan negeri perlu dinikmati secara inklusif oleh semua lapisan masyarakat termasuk komuniti setempat yang menjadi sebahagian penting dalam menyokong pembangunan negeri,” jelasnya lanjut.

a3311f71 7564 4a29 9a8d 43da3d0e5c54 f0c6612c 2039 433f 8513 b3d91413a22c 607db01b 9197 4203 b1de d57371c869a0 fa03bfcc a986 4639 9567 cca0a9ebbfaa
Serentak itu, Kon Yeow turut menjelaskan bahawa pelaksanaan projek infrastruktur di negeri ini lazimnya mengambil tempoh lebih panjang untuk disiapkan, selaras dengan keperluan memastikan kemudahan rakyat dapat ditingkatkan secara berperingkat.

“Pelaksanaan projek infrastruktur memerlukan masa lebih panjang untuk disiapkan, namun ia penting bagi memastikan kemudahan rakyat dapat ditingkatkan secara berperingkat.

“Semua pihak termasuk Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), sektor swasta, institusi pendidikan serta komuniti perlu terus berganding bahu bagi memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Pada kesempatan sama, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk barisan kepimpinan, jabatan-jabatan serta komuniti setempat yang disifatkan sebagai satu pasukan yang kuat dan berkesan dalam menjayakan setiap perancangan pembangunan,” katanya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : ALISSALA THIAN