GEORGE TOWN – Usaha pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow selama ini dengan memberi tumpuan pada aspek pembangunan bakat tempatan yang berkualiti dalam bidang bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebenarnya bukan sahaja memastikan permintaan pekerja industri tersedia, malah juga menjadikan Pulau Pinang kukuh dalam menghadapi gelombang teknologi 4.0 pada peringkat global.
Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ramli Ngah Talib berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 8 Mei 2026.
Menurut Tun Ramli, agenda pembangunan modal insan yang mampan harus bermula daripada akar umbi, khususnya melalui pengukuhan pendidikan dalam bidang sains dan teknologi.
“Asas pendidikan sains dan teknologi perlu dipupuk sejak peringkat awal lagi.
“Saya amat menghargai pencapaian Tech Dome Penang, Penang Science Cluster dan Penang STEM 4.0 yang telah memacu pelbagai program STEM,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa inisiatif STEM yang dilaksanakan peringkat negeri telah berjaya menarik sebanyak 303,491 penyertaan pelajar bagi tempoh tahun 2023 hingga 2025, yang mana ia disifatkan sebagai pelaburan jangka panjang untuk membentuk generasi muda yang berilmu dan berdaya tahan.
Dalam usaha memperkukuh tenaga kerja mahir dalam sektor perkhidmatan, menurut beliau, Kerajaan Negeri melalui Invest Penang Sdn. Bhjd. (Invest Penang) dengan kerjasama strategik Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), (Penang) GBS Focus Group, dan (Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) telah berjaya melatih lebih 1,000 tenaga kerja dalam sektor Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) sejak 2022.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri pada tahun 2025 telah melancarkan edisi dua Penang Global Business Services Industry Academy (PGIA 2.0) dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 500 bakat baharu khusus dalam bidang Generative Artificial Intelligence (GenAI) dilahirkan pada tahun ini.
“Pendekatan ini mencerminkan kesinambungan daripada asas STEM kepada latihan berteknologi tinggi, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja tempatan menghadapi perubahan teknologi pesat,” ujarnya.
Menyentuh mengenai soal kerjasama Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri melalui NCER Technology Innovation Centre (NTIC) pula, beliau menyatakan bahawa usaha tersebut akan memperkukuh lagi ekosistem pembangunan bakat di Pulau Pinang.
“Inisiatif ini telah melatih lebih 1,400 bakat tempatan serta menyokong pewujudan lebih 13,000 peluang pekerjaan dalam sektor berteknologi tinggi.
“Ia secara tidak langsung menyokong agenda memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai peneraju dalam teknologi baharu muncul atau emerging technologies dan aspek ekonomi yang mencabar atau ‘high economic complexity’,” ulasnya lanjut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN & SIEW CHIA EN
Video : LAW SUUN TING & DARWINA MOHD. DAUD