TYT Sabah terima anugerah tertinggi Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak berkenan mengurniakan penganugerahan Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) kepada TYT Negeri Sabah, Tun Juhar Datuk Mahiruddin.

Darjah kebesaran yang membawa gelaran Dato’ Seri Utama itu disampaikan pada Istiadat Khas Penganugerahan Darjah Utama Pangkuan Negeri dekat Anjung Mutiara, Seri Mutiara di sini sebentar tadi.

Tun Ahmad Fuzi bersama-sama Tun Juhar Muhiruddin dan kepimpinan Kerajaan Negeri bergambar kenangan selepas tamat istiadat penganugerahan dekat Anjung Mutiara di sini sebentar tadi.

Turut berangkat pada istiadat tersebut ialah isteri TYT, Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd. Nor dan isteri Juhar, Toh Puan Datuk Seri Panglima Norlidah Tan Sri Datuk R. M. Jasni. Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Jailani Mohamed Yunus dan isteri, Datin Norsham Muhamad Din serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Terdahulu, Juhar dan isteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada tengah hari tadi bersempena lawatan rasmi beliau serta delegasi ke negeri Pulau Pinang selama empat hari bermula hari ini (2 Julai 2022).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS