TYT sampaikan amanat secara maya sempena sambutan Maulidur Rasul

TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (tengah) diiringi Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (kiri) menyampaikan cek replika kepada YAA Dato’ Mohamad Shakir Abdul Hamid yang dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Umat Islam di Pulau Pinang digesa menghayati moto sambutan Maulidur Rasul pada kali ini iaitu ‘Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti’, sungguhpun diraikan secara maya tanpa perarakan.

Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kelapan, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak berkata demikian ketika menyampaikan amanat dalam acara yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) pada peringkat Negeri Pulau Pinang menerusi laman Facebook rasmi jabatan berkenaan lewat petang tadi (18 Oktober 2021).

Menurut Ahmad Fuzi, penerapan ‘manhaj rabbani’ dalam memangkin ummah berkualiti ini merujuk kepada tiga elemen utama keilmuan, kerohanian dan aktivitisme atau gerakan dakwah berteraskan ‘amar makruf nahi mungkar’.

Di samping itu, beliau turut menyeru umat Islam supaya meneladani akhlak yang ditunjukkan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W dalam melaksanakan aktivisme.

Senada dengan TYT, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman sebelum itu turut menyeru umat Islam supaya menghayati sejarah perjuangan Nabi Muhammad S.A.W.

“Kelahiran Baginda (Nabi Muhammad S.A.W) bukan sekadar mengisi kalendar tahunan umat Islam, akan tetapi kelahiran serta kehidupan haruslah diteladani dan dijadikan ‘ibrah (pengajaran) bagi seluruh umat Islam,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memberitahu bahawa akhlak serta Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W juga bukan bersifat selektif untuk umat Islam semata-mata; bahkan bersifat ‘syumul’ atau menyeluruh sesuai dengan kepelbagaian kabilah yang berada di Madinah Al-Munawwarah semasa itu.

Mufti Negeri, Sohibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor; Pengarah JHEAIPP, Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali merupakan antara pimpinan Kerajaan Negeri yang menyertai acara sambutan Maulidur Rasul secara maya tersebut.

Pada majlis sama, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, YAA Dato’ Mohamad Shakir Abdul Hamid yang merupakan bekas Ketua Hakim Syarie di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri tahun ini.

Mohamad Shakir, 55, membawa pulang trofi, wang tunai berjumlah RM5,000, sijil dan hadiah iringan yang disampaikan oleh Ahmad Fuzi di sini.

 

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB